Halaman

Khamis, 18 Oktober 2012

Kami ingin mencintaiMu..






Duhai hati
jangan jauhi ALLAH..
Ke mana pun kau lari.. ALLAH ekori mu rapat-serapatnya,
Duhai hati
Jangan sisihkan ALLAH
Ke mana pun kau sembunyi… ALLAH ada sedekat-dekatnya

Terlalu menarik isi kandungan dalam majalah Gen-Q. Tidak tahu yang mana ingin saya kongsi kan. Ingin di’fotostat’ semuanya..tidak wajar sekali. Jika ingin membaca keseluruhan isinya dan terlepas keluaran ni, boleh la pinjam dengan saya nanti. InsyaALLAH. Saya cuba ringkaskan isi kandunganNya disini agar saya dapat membawa anda meneroka cintaNya bersama. Selamat meneroka!

KRONOLOGI CINTA



“Percayalah, kita boleh mengetahui siapa yang bertakhta di hati seseorang itu dengan memerhatikan kekerapan dia menyebut sesuatu nama dalam setiap perbualannya”




Ini satu petikan kata2 yang saya ambil. Emm..ada benarnya. Bercakap soal cinta, pasti terbayang si jejaka dan si dara manis yang sedang asyik bermadah cinta. Dilamun ombak rindu. Terfikir kah kita kepada Yang Maha Pencinta yang menganugerahkan rasa cinta? Adakah Dia yang diagung2kan dalam setiap tutur bicara kita? Oh..sangat jarang bukan kita ingat kepadaNya. Bagaimana cinta kita kepadaNya? Adakah cinta kepadaNya melebihi segala makhluk di muka bumi ini? Ya ALLAH...ampunilah kami.

Maafkan  saya kerana melontar soalan bertalu-talu. Dengan bertanya, kita boleh muhasabah bersama-sama.  Benar, kita sedang mencari cinta. Dia mendahului kita dengan mencintai kita.Dia berikan segala apa yang kita perlukan dalam hidup ini, walaupun kita sering minta apa yang kita ingini. Tapi... kita sering lalai dan lupa akan cintaNya. Jika si kekasih di layan sebegini, sudah lama retak hubungannya. Saya tidak mahu mengagungkan cinta si kekasih. Cukuplah sekadar satu analogi yang mudah nampak dan jelas.  Ayuh kita buat perbandingan kronologi cinta manusia sesama manusia dengan kronologi cinta manusia kepada ALLAH.

Manusia + Manusia
Permulaan :
 Berkenalan dengan seseoarang, sama ada secara rawak atau dikenalkan oleh kenalan.
Detik kedua
Ingin memahami seseorang yang dikenali itu dengan lebih mendalam kerana ada sesuatu yang istimewa padanya.
Tanda cinta
Tidak dapat melupakan seseorang yang dikenali itu. Pagi, petang, siang, malam asyik terbayang. Ketika itu jika seseorang yang dikenali itu meminta apa-apa bantuan, maka akan diturutkan seikhlas jiwa.

Betol tak kronologi ni? Pasti anda sedang tersenyum sekarang ini.. Ya, kerana anda pernah mengalaminya. Ops! Bukan maksud saya anda pernah bercinta. Masih ingatkah bagaimana berputiknya cinta kita ibu bapa, guru2 dan sahabat kita? Bukankah seperti ini juga kronologinya =)

Mari kita semak kronologi cinta Mencintai ALLAH.

Permulaan : 
Belajar dan mengenali Maha Pencipta melalui ibu bapa dan guru di sekolah.
Detik kedua : 
Memerhati, merasai dan memahami setiap ciptaan ALLAH yang boleh dilihat oleh mata, yang boleh didengar oleh telinga dan yang boleh dirasa dengan lidah.
Tanda Cinta :
Setiap masa teringatkan ALLAH. Menghargai segala ciptaanNya. Bersyukur atas nikmat yang diberikanNya. Mentaati segala perintah dan menghindari larangannya dengan penuh keikhlasan.

……Ayuh muhasabah….di manakah tahap cinta kita kepadaNya. Jika kronologi cinta kepada manusia sudah sampai tahap tanda cinta, kronologi cinta ALLAH di tahap mana..permulaan, detik kedua atau tanda cinta..?

Teruskan usaha kita untuk sampai ke tahap kita benar-benar mencintaiNya. Gunakan peluang nikmat yang masih diberikanNya sebaik mungkin sebelum segala nikmat yang dipinjamkanNya, ditarik balik. InsyaALLAH....moga ALLAH istiqamahkan hati kita.


MERAIH CINTANYA

3 Kunci untuk meraih cinta ALLAH.

1.       Mencintai Kalam cintaNya (Al-Quran)
Adakah kita mencintai Al-Quran dengan membacanya setiap hari, ketika dalam keadaan susah dan senang?
Sekiranya kita mendapat SMS atau surat cinta daripada seseorang yang kiat cintai sudah tentu kita tidak akan membacanya berulang-ulang kali.
Inikan pula Kalam cinta daripada pemilik segala cinta. Sepatutnya kita tidak jemu membaca, membawanya, cuba menghafal bait2 ayat cintaNya. Bersedih dan takut apabila membaca ayat2 tentang azabNya, tersenyum membaca ayat2 tentang nikmatNya.

2.       Mencintai Kekasihnya (Rasulullah s.a.w)
“Katakanlah : Jika kamu benar-benar mencintai ALLAH, ikutilah aku, nescaya ALLAH mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu” (Al-Imran:31)
Apabila diri mengakui mencintai Rasulullah s.a.w, sepatutnya Baginda menjadi contoh dan ikutan kita. Banyak berselawat atas Baginda dan mengikut sikap dan gaya hidup Baginda s.a.w agar ALLAH mencintai kita.

3.       Berzikir kepadaNya

“ Maka ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat kepadamu dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengingkari nikmatKu” (Al-Baqarah : 152)

Sekiranya kita ingin mencintai ALLAH, maka basahilah lidah dengan menyebut nama ALLAH sentiasa. Amalan kebiasaan yang sering diamalkan, lama-kelamaan akan sebati dalam diri. Biarlah diri kita pergi menghadapnya dengan mengingatiNya. Mulakan dengan sedikit tapi istiqamah. InsyaALLAH akan sentiasa diilhamkan untuk menyebut namanNya. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahukabar.

InsyaALLAH apabila kita mengamalkan ketiga-tiga kaedah ini sudah pasti ALLAH yang Maha Penyayang akan sentiasa menyuburkan cintaNya kepada setiap insan yang tidak pernah jemu mengingatiNya!

***


terasa seperti sedang berusrah pula…(^.^)

Jumaat, 12 Oktober 2012

Travelog Iman Seorang Doktor (3)





Sunyinya waktu pagi ni. Teringat zaman kampus dulu. Waktu macam ni dah bersiap pergi ke kelas. Bersenam, setiap hari (berjalan kaki) dari rumah sewa ke kampus. Alhamdulillah, menyihatkan. Sekarang bila dah lama tinggalkan rutin harian ni, badan pun dah sakit2. Kat sini nak berjalan waktu pagi sorang2, sunyi..tak ramai orang lalu lalang.  Tak sibuk  macam jalan di Penang. Nak berbasikal, jarang sangat dah buat. Jadi nak mengisi waktu macam ni, selalunya buat kerja rumah, baca buku, ataupun online. Suka tengok status adik2 di kampus….boleh update perkembangan mereka juga.

Cepatnya masa berlalu. Dah 3 bulan saya bercuti. Bertanya kepada kawan yang dah bergraduasi, tengah buat apa sekarang? “tunggu pokok anggur berbuah”. Jawapan yang bagus, sesuai dengan kami student Agro…hehe. Belum ada rezeki untuk dapat kerja. Ikutkan banyak iklan jawatan kosong, dah isi. Tapi rezeki tu kuasa ALLAH. Tak boleh nak salahkan sesiapa. Yang penting usaha. =)

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu). (Saba’ : 36)

***

Travelog Iman Seorang Doktor (3) fokus saya sebenarnya. Teringat kepada sahabat2 saya yang ambil jurusan perubatan di PMC, USM Kubang Kerian yang akan menduduki peperiksaan minggu hadapan. Sekarang mereka sedang bertungkus-lumus bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Semoga dipermudahkan urusan kalian.

Satu bahagian dalam buku ini mengingatkan saya kepada sahabat2 saya ini.

Doktor Muslim dan Doktor non Muslim

Pandangan saya sebelum ini waktu kecil2 : ‘Ramainya Dr yang berbangsa cina, sangat sikit Dr Melayu. Mereka ni rajin sebab tu pandai, dapat jadi Dr.’

Sekarang : ‘Alangkah baiknya, ramai Dr Muslim daripada Dr non Muslim.’
Dr Muslim (definisi saya) ialah seorang Dr yang mengamalkan cara hidup Islam keseluruhannya. Menjaga hak ALLAH dan hak sesama makhluk. Bukan Islam pada nama atau keturunan.

Apakah yang membezakan Dr Muslim dan non Muslim.

Kerajinan?  Mereka sama2 rajin sehingga berjaya menjadi Dr.

Keberanian ? Semua Dr mesti berani.

Disiplin? Mesti ada.

Dr. Khalid bin Abdul Aziz Al-Jubair, mengatakan dalam bukunya. Inti perbezaan yang sekali gus membezakan kelebihan Dr Muslim dan non Muslim ialah Dr Muslim ini menaruh harapannya kepada ALLAH yang mana tidak mungkin dilakukan oleh Dr non Muslim. Hebat bukan? Adanya ALLAH dalam setiap jiwa manusia yang beriman sekali gus membezakan manusia hebat yang tiada ALLAH dalam jiwanya. =’)

Jika niat seorang Dr Muslim itu tulus kerana ALLAH, dia akan segera menghadap ALLAH dengan berharap kepadaNya, meminta pertolongan kepadaNya, merayu dan berdoa kepadaNya. Semua ini bersumber daripada rasa takutnya kepada ALLAH.

Perbezaan ini ibarat senjata ampuh yang berada dalam genggaman seorang Dr Muslim. Jika dia menggunakannya dengan bersungguh2, senjata tersebut akan mempunyai kebarangkalian yang besar dalam menyembuhkan pesakitnyaa dengan izin ALLAH. Rasa takut (berhati-hati) dalam merawat pesakitnya. Seorang Dr Muslim yang berhati-hati melaksanakan tanggungjawabnya, hubungannya dengan ALLAH akan semakin kuat. Hubungan tersebut membentuk harapan, memohon pertolongan dan ketundukan, maka ALLAH akan membimbingnya dan memudahkan urusannya.  Begitulah betapa pentingnya menjaga hubungan dengan ALLAH. Seorang Dr Muslim akan sentiasa mendoakan pesakit dalam doa dan tidak merasa bangga diri atas hasil baik yang dia dapatkan.

"Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila dia berdoa kepadaNya dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu)." (An-Naml : 62)

Dr Muslim yang sentiasa berusaha memperbaiki hubungannya dengan ALLAH. Bukan sahaja dalam urusan merawat pesakitnya sahaja, dia mengamalkan cara hidup Islam yang diajar Rasulullah s.a.w seperti yang digariskan dalam Al-Quran. "Ruqyah". Di samping ubat-ubatan yang dibekalkan kepada pesakit, adalah baiknya Dr bekalkan juga ayat-ayat ruqyah kepada pesakit untuk diamalkan. Ramai Dr, mahupun orang2 yang menderita sakit yang melupakan fadhilat ruqyah ini. Begitu juga dengan orang2 yang melawat orang sakit, bacalah ruqyah dengan membaca Al-Fatihah, Al-Mu’awwizat (Surah Al-Falaq dan An-Nas) dan doa2 yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Ingatkan lah kepada orang yang sakit banyak kan berzikir kepada ALLAH daripada merungut kerana sakitnya.

Ali bin Abi Thalib berkata :


"Jika engkau sabar, takdir akan terus berjalan dan engkau mendapat pahala. Sedangkan jika engkau merungut, maka takdir pun akan terus berjalan pula dan engkau mendapatkan dosanya."


Sekiaranya ALLAH mengizinkannya kembali sihat, maka mereka itu telah mendapat dua balasan. Pahala atas kesabarannya dan pengharapannya, serta balasan berupa kesihatan. Namun jika ALLAH mentakdirkan lain kepada orang tersebut dengan tidak memberikan kesembuhan kepadanya, maka dia akan mendapat pahala dari pengharapan  dan kesabarannya itu.



***




Alhamdulillah, selesai sudah Travelog Iman Seorang Doktor. Tidak semua isi saya kongsikan. Sekadar perkongsian ringkas dari saya. Untuk keseluruhan isinya, boleh la anda miliki buku ini dan membacanya. insyaALLAH sangat bermanfaat. Di rumah mak dan kakak saya pun turut membacanya. Ok, selamat membaca. =)


***

Kepada sahabat2 yang menduduki peperiksaan minggu hadapan, teruskan usaha. Saya bukan dalam bidang kalian, mungkin saya tidak mengerti perit usahanya. Hanya doa mampu saya kirimkan untuk kalian. InsyaALLAH kelak akan lahirnya Dr Muslim (definisi saya) dan saya harapkan sebahagian daripada mereka itu adalah kalian. Amin.

Sedikit bingkisan  buat kalian.

Dr Muslim itu,
Menguasai segenap bidang keilmuan dan profesioanlismenya,
Mengikuti perkembangan bidang kepakarannya,
Selalu berusaha sekuat tenaga mengembangkan kemahirannya,
Sentiasa siap mengorbankan segala hal yang paling mahal dalam hidupnya.

Dr Muslim itu,
Tidak pernah merasa tinggi hati,
meskipun dia mempunyai tingkat akademik tertinggi.
Tidak jemu menuntut ilmu,
meskipun dia telah banyak memakan asam garam dalam kariernya.
Tidak pernah putus asa atau bosan, 
Meskipun payah meniti liku perjuangannya.

Dr Muslim itu,
Hatinya sentiasa takut dan harap kepada ALLAH,
Kerana itu sumber kekuatannya.
Hatinya tulus, 
Ikhlas menuntut ilmu kerana ALLAH
Sejak mula dia menuntut ilmu.
Hatinya tenang,
kerana hatinya sentiasa mengingati ALLAH
Hatinya bahagia,
sehingga mampu membahagiakan setiap jiwa yang berada disampingnya.

Kuncinya hanya satu,
ALLAH sentiasa dekat di hati Dr Muslim itu.


***


Wassalam...

Isnin, 1 Oktober 2012

Travelog Iman Seorang Doktor (2)



Alhamdulillah pagi ini, masih diberi kesempatan untuk melihat dunia, bersama dengan orang2 tersayang lagi. Syukur ya ALLAH. Em, tiada apa nak buat..jadi saya teruskan untuk sambungan Travelog Iman Seorang Doktor (2).

***
Kisah Benar yang diceritakan oleh Dr Khalid bin Abdul Aziz Al-Jubair
Seorang pemuda melarikan diri dari hospital pabila tiba hari untuk dia di bedah. 2 minggu kemudian pemuda itu kembali menemui Dr tersebut.
“Kamukah yang melarikan diri dari pembedahan dua minggu lepas?”. Tanya Dr.
“Ya, saya”. Jawab pemuda tersebut.

Dia melarikan diri kerana dirinya takut mati. Belum bersedia untuk mati. Dr mengingatkan dia bahawa kematian boleh datang pada bila2 masa. Sama ada kita telah siap ataupun tidak. Bila malaikat Izrail datang melaksanakan tugasnya, adakah kita berupaya minta ditangguhkan? Tidak boleh sama sekali. Justeru itu, persiapkan lah bermula dari sekarang. Pesanan ini buat diriku dan dirimu juga.

Jika kita bakal menghadapi peperiksaan yang kita sudah tahu bila tarikhnya, sudah pasti kita buat persiapan rapi. Study group, buat nota, menghafal dan berusaha mencari pelbagai rujukan. Pengalaman saya, study week memang masa yang saya peruntukkan untuk study sungguh2 sebab saya tak nak sia2kan masa yang ada dan saya tak nak menyesal kemudian hari.  Saya rasa senario ini sama dengan pelajar2 yang lain.

NAMUN, kematian yang kita belum tahu bila masanya..mungkin esok, lusa atau beberapa minit sahaja lagi akan datang menjemput, ADAKAH KITA SUDAH SIAP? Bagaimana persiapan kita, adakah sama macam telitinya kita untuk menghadapi peperiksaan? Ya ALLAH ampunkanlah kami Sangat jarang kita mengingati kematian, bahkan kalu boleh bayangan kematian itu ingin dibuang jauh2. Fikir lagi, wajarkah..sesuatu yang pasti, dilupakan begitu saja.

Analogi lain. Si kekasih mengharapkan satu perkahwinan dengan gadis yang dicintai. Sanggup menempuh segala kesusahan untuk memastikan dia boleh mengahwini kekasih hatinya. Bayangan wajah si kekasih sentiasa bermain di mata. Perkahwinan ini belum pasti dan gadis itu belum pasti menjadi miliknya, tapi mengapa perkara yang belum pasti ini usahanya lebih dari perkara yang pasti?? Sedang saya menulis..saya berfikir dan saya berharap yang sedang membacanya juga berfikir sama. Ingatlah syaitan tidak pernah jemu untuk membuatkan kita lalai.

Kesedaran itu susah untuk hadir, jika tiada yang mengingatkan. Begitu juga saya. Saya bukan insan sempurna . Ada kalanya saya lalai. Saya bersyukur kerana ALLAH sentiasa menghadirkan peringatan2nya tentang kematian, melalui pembacaan, tafsir Al-Quran dan juga peringatan daripada sahabat2. Ya, Saya sedang berusaha. Anda juga sedang berusaha. Usaha yang harus dimulakan dengan ilmu. Saya suka berkongsi dengan anda apa yang tercatat dalam buku ini. Bagaimana kita nak mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian. Kematian bukan percutian. Remember that. Takutlah, ALLAH sedang memerhatikan kita.

Muhasabah diri secara berterusan adalah salah satu cara untuk kita persiapkan diri. Selalu memeriksa kekuarngan, bertaubat dengan segera setelah melakukan kesalahan.
Cara-cara yang digariskan untuk diri sentiasa muhasabah :

1.   1.    Setelah meletakkan kepala di atas bantal lalu membaca doa-doa sebelum tidur, ingatlah kembali segala perbuatan kita sepanjang siang hari tadi. Meliputi amal yang baik dan buruk. Maafkan segala salah silap orang lain terhadap kita.

2.       Mulakan muhasabah dengan syahadah (merasakan diri seorang hamba). Jika perkara baik berlaku ucapkanlah Alhamdulillah dan jika perkara yang tidak diingini berlaku bacalah ta’awwudz, beristighfarlah dan menangislah di hadapan ALLAH.


3.       Jika melakukan dosa, segeralah bertaubat dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Sekiranya ada dorongan jahat, ingatlah janji kita kepada ALLAH untuk tidak mengulanginya lagi.

4.       Setelah muhasabah akan hak ALLAH, muhasabah pula hak dengan makhluk2  termasuklah Ibu bapa, suami/isteri, anak2, guru2, sahabat2, alam sekitar dan haiwan2. Adakah amalan dan aktiviti kita pada siang hari tadi menyebabkan ALLAH murka berkenaan dengan hak2 mereka. Jika ya, bertaubatlah kepada ALLAH untuk tidak mengulanginya lagi. Kemudian tidurlah dalam keadaan telah bertaubat.


Muhasabah singkat yang hanya mungkin memakan masa 5minit…insyaALLAH moga istiqamah. Hikmah muhasabah singkat ini, jika ditakdirkan kite meninggal dunia malam itu, kita akan menghadap ALLAH dalam keadaan telah bertaubat.  Dan jika ditakdirkan esoknya kita masih hidup, kita akan ingat bahawa kita berjanji dengan ALLAH untuk menghindari segala dosa.

“ Demi ALLAH, jika kalian melakukan dosa pasti ALLAH akan mengganti kalian dengan kaum lain yang berbuat dosa, lalu mereka beristighfar kepada ALLAH kemudian ALLAH mengampuni mereka”  HR Muslim.


***
Seorang doktor yang saban hari melihat kematian berlaku di depan mata..membisikkan syahadah ke telinga pesakitnya diambang sakaratulmaut.. hatinya kian dekat dengan ALLAH dan dia tidak jemu untuk muhasabah dirinya dan membantu orang lain juga untuk sentiasa mengingati MATI....~



Ahad, 30 September 2012

Travelog Iman Seorang Doktor (1)



Kembara sebagai seorang Dr.  Saya bukan bakal Dr. Bukan anak Dr. Namun saya amat mengagumi kerjaya mulia ini. Setiap pekerjaan ada sumbangan dan kemuliaannya  tersendiri. Sebagai guru sumbangannya amat besar dalam mendidik ummah. Pegawai bank, amanah menguruskan wang. Tukang sapu, gigih membersihkan alam sekitar. Kasihnya ALLAH. Diciptakan manusia itu dengan pelbagai darjat dan kebolehan. Jika semuanya berkerjaya hebat, siapa akan kisah pada kepentingan lain pula? Fikir sejenak. Jadi tidak adil bagi untuk kita membanding2kan atau memperlekeh kan soal pekerjaan atau rezeki orang lain. Bersyukurlah dengan apa yang ALLAH anugerahkan.

Saya mula cuba memahami kerjaya ini dengan membaca novel Denyut Kasih Medik. Dari situ saya tahu realiti kehidupan sebagai seorang doktor. Sewaktu kecil saya bercita-cita untuk menjadi doktor. Cita-cita itu dikuatkan lagi apabila saya pernah menjadi Tokoh Doktor Muda. Saya belajar bersungguh-sungguh untuk capai cita-cita ini sehinggalah apabila saya menerima keputusan SPM. Harapan saya sedikit longgar kerana keputusan yang diperoleh tidak begitu cemerlang. Ada satu peluang untuk sambung ke luar negara dalam bidang perubatan, tapi saya kuburkan hasrat tu. Meneruskan pengajian di Matrikulasi. Satu peristiwa berlaku, dan menyebabkan saya tersedar..mengapa ALLAH tidak takdirkan saya untuk belajar dalam bidang perubatan. Emm..sudahlah bercerita kisah diri sendiri. Hanya sabagai intro sahaja.


Dalam buku ini (Travelog Iman Seorang Doktor) banyak mengisahkan kisah benar yang dialami oleh Dr itu sendiri. Semuanya berkisar tentang keimanan seorang hamba ALLAH. Apabila membaca buku ini, tidak pernah penulis leka mengingatkan saya tentang kematian. Ya kematian. Satu perkara yang saya pasti akan lalui dan anda juga pasti akan lalui. Bukunya tidaklah tebal sangat, hanya setengah inci. Namun isinya mampu mengetuk pintu hati yang lalai. Dimuatkan kisah2 tentang bagaimana manusia menghadapi saat kematian, ada yang husnul khatimah dan ada yang su’ul khatimah. Ada juga diselitkan macam mana untuk memperoleh hati yang bersih.

Jasad dan Hati

Sedar atau tidak apabila salah satu anggota badan yang sakit (seperti yang saya lalui baru2 ni) diri mula gelisah. Nak berjumpa Dr cari ubat, penawar. Walhal apabila hati tempat bertapak nya Iman mulai sakit, jarang sekali kita sedar dan segera mencari penawarnya. Dirisaukan tentang kesihatan fizikal melebihi iman yang menjadi nilaian ALLAH diakhirat kelak. Iman yang kian luntur dibiarkan sehingga melarat ‘sakitnya’ dan menjadi sarang syaitan laknatullah. Maka amat mudahlah untuk mereka mengheret anak2 Adam ini ke neraka bersama mereka. Na’udzubillah.

“Sungguh aneh orang yang menangisi jasad yang telah mati tetapi mereka tidak menangisi hati yang telah mati. Padahal matinya hati lebih menyedihkan daripada matinya jasad.”

Seharusnya sebagai manusia, jasad yang dipinjamkan oleh ALLAH ini dijaga dengan baik. Penjagaan jasad yang baik bermula dari hati yang bersih dan takutkan ALLAH. Barulah kita dapat mengamalkan kehidupan dengan baik dan menjaga amanah yang dipinjamkanNya dengan sehabis baik. Kemaksiatan adalah makan beracun yang dapat merosakkan hati. Bagaikan makanan busuk merosak tubuh, bahkan boleh membunuhnya.


Sesungguhnya kehidupan hati harus mendapat perhatian lebih daripada perkara lain. Jika kita melakukan satu dosa, selayaknya kita segera mensterilkan hati kita daripada dosa itu dengan bertaubat dan menyesal. Namun kita tidak boleh menafikan hak kesihatan jasad sehingga tidak perlu berubat. Macam mana kita menitik beratkan soal kesihatan jasad, hendaklah kita memperhatikan rawatan hati pada kadar yang sama juga. Jika seseorang itu meninggal dunia keran penyakit jasadnya yang dia hadapi dengan sabar dan berharap kepada ALLAH (bermula dari hati), insya-Allah balasannya adalah syurga.

“Ketika orang sakit mempunyai hubungan yang kuat dengan ALLAH yang Maha Berkuasa atas segala penyakit dan ubatnya, maka saat itu dia telah memiliki ubat yang lebih bagus daripada ubat-ubatan apa pun.” Subhanallah.

Bersambung..

Sabtu, 29 September 2012

Buku-buku~



29 September 2012, 10.28 p.m

Syukur pada Ilahi.. ketika sedang menulis ni, Alhamdulillah kesihatan semakin baik. Bertahan dengan ubat tahan sakit untuk seketika. Sebelum ni ada hajat untuk menulis, tetapi tidak dapat menumpukan perhatian kepada penulisan dan isi yang ingin disampaikan, jadi hasrat ditangguhkan. Malam ni, ambil sedikit ruang untuk berkongsi sekadar yang mampu. 

Sepanjang perjalanan musafir saya seminggu yang lalu, saya ambil peluang untuk tambahkan lagi koleksi buku. Saya beli 4 buah buku. Ada yang secara kebetulan dan ada sememangnya saya berhajat untuk miliki dan ingin mengetahui isi kandungannya. Travelog Iman Seorang Doktor, buku ni dibeli secara kebetulan ketika saya singgah di gerai buku. Bila tengok tajuk, saya terus tertarik untuk membelinya. Alhamdulillah isinya sangat menarik, dan akan saya kongsi kan nanti. InsyaALLAH.

Sebelum Aku Bernikah, karya Hilal Asyraf. Memang tengah famous buku ni. Buku ini saya berhajat untuk miliki. Segan dengan tajuknya bila nak bayar di kaunter dan nak baca buku ni di depan orang lain. Takut orang kata ‘dia dah nak kahwin’.. Em..semua orang hasrat untuk kahwin, sebab tu perlu buat persiapan antaranya melalui pembacaan untuk tambah lagi ilmu. Kena matang, sesuai dengan keperluan. Bagi saya isinya sangat bagus walaupun penulisnya menceritakan perjalanan kisah hidup dia. Positif kita ambil, belajar dari pengalaman orang. Owh ya, buku ni saya beli bersama dengan seorang sahabat. Alhamdulillah sahabat saya tu, akan bertunang esok. Semoga ALLAH permudahkan urusan jodoh nya. =)

Biar Bidadari Mencemburui Dirimu. Best kan tajuknya. Belum khatam lagi. Tak dapat nak ulas panjang. Saya sangat tertarik dengan quote dalam buku ini :

Pesan Rasulullah “ Wasiatkan sentiasa kebaikan kepada para wanita, kerana mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Bahagian yang paling bengkok daripada jalinan tulang rusuk iaitu tulang rusuk bahagian atas. Sekiranya kalian memaksa diri bagi meluruskan nya tulang itu pasti patah. Tetapi, sekiranya kalian mendiamkannya sahaja tulang itu akan tetap bengkok. Oleh itu, wasiatkan lah kebaikan kepada para wanita”

Majalah Gen-Q, menjadi peneman semasa saya dalam perjalanan ke Penang. Dulu, semasa di USM selalu juga beli majalah macam ni. Solusi, Anis. Tapi sejak tinggal di Gua Musang, jarang sangat berpeluang nak jumpa majalah macam ni. Sekali skala ingin ubah gaya pembacaan. Ada juga kartun2, gambar2 yang menarik, tidaklah jemu sangat membaca. Isu keluaran kali ini sangat tepat dengan apa yang saya sedang ‘tercari2’. Usia sudah 22 tahun. Masih mencari cintaNya. Memperbaharui cinta kepadaNya.. Selalu dengar/baca orang kata : Cintailah ALLAH, cinta lain akan hadir. Koreksi diri..adakah saya benar2 telah mencintaiNya? Apa bukti cinta saya? Muhasabah... Saya sedang berusaha. Mencari panduan yang boleh membawa saya mengenali lagi sang Pencinta.  Banyak kupasan dalam majalah yang telah mengetuk pintu hati!

Sudah cukup 4 buah buku. 3 buah dah khatam, satu lagi belum khatam. InsyaALLAH saya akan cuba kongsikan hasil bacaan saya bagi setiap buku. Semoga bermanfaat.. Sementara saya masih diberi kelapangan masa (sebelum bekerja), saya ingin membawa anda ‘membaca’ bersama juga…

Inilah buku-buku yang baru mengambil tempat di rak buku saya.. (^.^)