Halaman

Rabu, 26 Disember 2012

Lampu Isyarat



Berhati-hati ketika melintas jalan, lebih2 lagi tempat yang ada lampu isyarat bagi pejalan kaki. Walaupun hijau, janganlah berjalan tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan, kerana ada pemandu yang tidak menyedari yang mereka mesti berhenti dan ada juga yang sedar tapi sengaja memecut laju. Bila berjalan  berjalanlah  dengan yakin, bukan teragak2, nanti lampu hijau nak merah, kita pula yang tidak sempat nak melintas. Mula berlari2, nanti jatuh pula. Berhati-hati ya, waspada dalam berjaga2.

Begitu juga dalam meniti kehidupan. Apabila kita dah berazam untuk berubah menjadi orang yang baik (lampu hijau) , jangan lupa perhatikan musuh dalaman dan luaran. Musuh dalam diri iaitu nafsu dan musuh luaran iaitu persekitaran. Ada sahaja bisikan2 yang cuba memusnahkan niat baik kita. Waspada  dengan dua pekara ini, jangan sampai mengubah niat asalnya. Kemudian yakinlah dengan hidayah yang ALLAH berikan, sahutlah jangan ragu2. Berusaha mencari jalan2  yang benar. Bimbang jika kita lengah2 atau abaikan, ALLAH jauhkan hidayahNya buat kita selepas daripada itu. Allahua'lam.


* Pengalaman berulang alik menlintas jalan nak pergi kerja. Melintas di laluan pejalan kaki yang ad lampu isyarat, lebih meyakinkan..tapi harus waspada juga...

Ahad, 23 Disember 2012

Tangan yang dipimpin



*Ayah dan anak*
Sambil termenung di kaunter pagi tadi, tiba2 ternampak seorang ayah memimpin tangan anak lelakinya melintas jalan. Kedai tempat saya bekerja ni, dihadapan sekolah. Mereka keluar dari arah sekolah. Si ayah memikul beg galas warna merah milik anaknya. Mungkin hari ni ada pendaftaran pelajar tahun 1. Sayu melihat mereka. Tiada kenderaan agaknya. Boleh jadi datang dengan keretapi, atau kereta sewa kerana saya nampak mereka berjalan menuju ke arah stesen keretapi.

*Nenek dan cucu*
Beberapa minit kemudian, ternampak seorang nenek tua, dipimpin dua cucunya melintas jalan. Juga datang dari arah sekolah. Ke mana agaknya ibu ayah mereka? Kat manalah agaknya rumah mereka? Mulia sungguh hati anak2 tu tidak membiarkan nenek mereka berjalan sendirian. Saya tengok keadaan nenek tu, badannya nampak letih selepas berlari2 anak melintas jalan. Ya ALLAH, sanggup dia bersusah payah datang mendaftarkan cucunya yang nak bersekolah.

*Ibu dan anak*
Pembacaan saya terhenti apabila mendengar tangisan budak lelaki. 
"Mak nak beli ni..nak beli ni"..menangis sambil memimpin tangan ibunya masuk ke dalam kedai.
 Ibu memujuk anaknya supaya membeli buku nota kecil yang ada gambar kartun.
"Ambil buku ni, tahun depan adik kan dah nak sekolah"
Budak kecil tu, mengamuk bila tidak dapat apa yang dia nak (nak beli bendera).
Ibu mengheret tangan dan sedikit memukul anaknya sambil keluar dari kedai tu..
Beberapa saat, ibu dan budak tu datang kembali. Budak kecil tu akur, sambil teresak2..
"mak, nak buku...nak menulis" perlahan saja suaranya.
Bila ibunya dah bayar, dia berhenti menangis dan tersenyum. Kali ni, ibunya pun turut senyum memimpin anaknya menuju ke kereta.

***
Hati anak2 kecil ini masih bersih. Mereka baru nak kenal dunia, baru nak kenal kawan2 dan persekitarannya. Mereka mula nak mencari ilmu. Alhamdulillah, mereka ada keluarga yang mementingkan ilmu. Semoga ALLAH memelihara mereka dan anak2 mereka berjaya dan menjadi anak yang soleh kelak. Amin..


Pimpin lah mereka sekalipun mereka telah dewasa kelak...




Sabtu, 22 Disember 2012

Kunci Kejayaan (IAA)



Assalamualaikum.. Alhamdulillah dapat update blog. Sebelum ni ada beberapa tulisan yang dah siap untuk dipost. Tapi semuanya hilang apabila laptop terpaksa diformat...huhu Satu ujian daripada ALLAH. Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun.

"Semuanya milik ALLAH. Bila2 masa ALLAH boleh ambil tanpa satu notis pun".

***

Teringat saya kepada adik2 dan sahabat2 di kampus. Sekarang ni mereka sedang bertungkus lumus bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan akhir semester 1 2012/2013. Rasa macam baru je saya dan sahabat2 lain yang dah grad membuat persediaan yang sama. Bersengkang mata, buat nota, study group, bincang2, buat past year..waah..cepatnya. Sekarang kami dah bebas daripada semua tu, tapi itulah yang kami rindui =’) 


Belajar dan exam memang tak dapat dipisahkan. Agaknya dah berapa kali kita exam ya? Exam besar UPSR. PMR, SPM…kat matrik, universiti..banyak tu. Exam ni lah waktu untuk kita uji kemampuan diri, dapat terima atau tidak apa yang dah kita pelajari.. Bukan pointer atau result semata-semata. Ianya juga satu ruang untuk muhasabah dan perbaiki diri.

Sempena study week ni, ada sedikit perkongsian untuk adik2 dan sahabat2. Ini sebahagian pengalaman, pembacaan saya dan perkongsian ilmu daripada orang lain juga. Harapnya bermanfaat untuk kalian ya. (^.^)


Kunci Kejayaan (IAA)

 I- Ilmu
Ingat lagi tak niat kita masa mula2 belajar dulu (semasa Tadika atau sekolah rendah) ?
Masing2 memang berbeza tujuannya. Ada yang kata belajar, nak berjaya, nak kerja hebat, nak bantu mak ayah, nak jadi pandai, nak capai capai cita2. Ya itu betul. Tapi apabila kita semakin matang meniti usia, banyak ilmu dan tazkirah kita dapat, sedikit sebanyak dan lama-kelamaan kita sedar apa sebenarnya tujuan kita belajar. Sebenarnya kita belajar kerana ALLAH..menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap individu Muslim. Namun tujuannya mesti satu, iaitu kerana ALLAH. Nak kerja hebat, nak bantu mak ayah, nak jadi pandai…bukankah itu semua2 jalan2 untuk kita mendapat redha ALLAH. Istiqamahkan dengan niat untuk belajar kerana ALLAH. Ingatkan diri bahawa belajar itu satu ibadah. Setiap perkara yang diniatkan kerana ALLAH dan mengikut syariatnya, menjadi satu ibadah. Dan bersama-sama ibadah, ada pahalanya. Sains, matematik, biologi, computer..itu semua ilmu ALLAH. Bersungguh2lah untuk dapatkan ilmu ALLAH. Ilmu adalah kunci kejayaan dunia akhirat.

“Jangan bermegah dengan ilmu dunia semata-mata, kerana itu  bukan jaminan dirimu tidak papa di akhirat”

A-Amal.
Macam mana nak amalkan ilmu yang kita dah dapat? Kita tahu bahawa ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah. Jadi macam mana nak amalkan waktu tengah belajar ni, belum kerja, belum praktikal. Usah kita sempitkan amal itu. Tidak semestinya masa kerja, praktikal baru nak amalkan. Waktu study ni dah boleh amalkan.

Study group, adalah satu ruang untuk amalkan ilmu yang kita ada. Apa yang kita faham, kita ceritakan dan bantu fahamkan kawan2 yang lain. Itu juga satu bentuk amal. Apabila kita banyak memberi, in sya ALLAH kita akan banyak menerima. Satu tips untuk study group, bersedia untuk menerima dan belajarlah untuk memberi. Study group kena ada undang2 juga. Mula2 nak study, tapi end up dengan bersembang. Elakkan daripada jadi macam tu ya.

Masih ingat pengalaman saya masa belajar. Boleh dikatakan, study group lah yang banyak membantu saya.Masa tu tahun dua, sibuk dengan persatuan, meeting, projek. Banyak yang saya ketinggalan kerana tak dapat beri tumpuan dalam kelas. Alhamdulillah, sahabat2 memahami, mereka terangkan kepada saya semasa study group dan Alhamdulillah exam tu, kami semua dapat keputusan yang baik.

Ada yang tidak suka study group. Saya mungkin boleh dikategorikan half-half. Dua2 suka. Tapi tengok situasi juga. Jika subjek yang perlukan hafalan, saya akan study sendiri. Subjek yang perlukan pemahaman terlebih dahulu sebelum hafal, saya lebih suka study group. Masa study group, bincang2 dan kita perlu masa untuk diri sendiri, untuk study sendiri pula. Waktu ni gunakanlah untuk tingkat pemahaman dan menghafal.

Bagi yang study sendiri macam mana nak amalkan ilmu yang ada ya? Buat nota, hafal dan uji otak. Itu juga satu bentuk amal. Kita latih keupayaan diri sendiri. Saya lebih suka buat nota kecil, hafal (baca kuat2..tempat xde orang lah ye) dan uji otak. Biasanya menghafal waktu otak tengah fresh, lepas subuh, lepas solat maghrib dan isyak. Petang, lepas asar waktu uji otak (tutup nota, sebutkan balik apa yang dah dihafal)..itu cara saya la. Setiap orang caranya berbeza..tengok keselesaan.
Bila kita amalkan ilmu yang ada, mudahlah untuk jawab exam, dengan izin ALLAH =) in sya ALLAH.

A-Adab
Dalam kita sibuk mencari ilmu ALLAH jangan lupa kunci untuk beradab. Beradab dengan siapa? Beradap dengan ALLAH, Rasulullah s.a.w, Ibu bapa, guru2, sahabat dan beradab dengan ilmu. Jom kita semak kembali, mungkin ada yang kita terlupa.

Adab terhadap ALLAH
1.       Cintakan ALLAH
2.       Bersabar apabila ditimpa kesusahan
3.       Bersyukur dengan nikmatNya
4.       Sentiasa berzikir kepada ALLAH
5.       Melakukan segala perintah, meninggalkan larangannya

Adab terhadap Rasulullah s.a.w
1.       Cintakan Rasulullah s.a.w
2.       Memperbanyakkan selawat
3.       Memulia dan mengamalkan sunnah baginda
4.       Beriman dan percaya segala perkara yang dinyatakan oleh Rasulullah.

Adab terhadap ibu bapa
1.       Melakukan perkara yang menyenangkan hati ibu bapa
2.       Mendoakan dan memohon keampunan bagi mereka
3.       Bertutur bersama mereka dengan penuh beradab
4.       Berbincang apa2 masalah dengan mereka dan jangan merahsiakan sesuatu daripada mereka
5.       Segera menjawab panggilan mereka


Adab terhadap guru
1.       Hindari menyinggung perasaan guru
2.       Berikan sepenuh perhatian terhadap apa yang diajar
3.       Tidak ponteng kelas
4.       Bercakap lemah lembut, dan merendah diri.

Adab terhadap sahabat
1.       Tidak mementingkan diri sendiri
2.       Bantu mereka diwaktu susah dan senang
3.       Maafkan kesalahan mereka
4.       Saling mengingatkan tentang ALLAH dan kebaikan

Adab belajar
1.       Sentiasa dalam keadaan berwuduk, istighfar.Baca doa sebelum belajar.
2.       Hormati waktu solat, semasa belajar. Berhenti seketika, jangan lewatkan solat
3.       Selalu merujuk kepada guru.

Bila kita rasa susah nak belajar, susah ingat...istighfar dan muhasabah balik mungkin ada adab yang tidak terjaga sebelum ni, Perbaikilah.

"Orang yang berilmu, beramal dan beradab akan dicintai oleh sesiapa pun"

Kunci paling UTAMA : USAHA, DOA dan TAWAKKAL kepada ALLAH. Apa jua keputusan, jangan pernah putus asa. Bangunlah dan carilah hikmah disebaliknya. Sekalipun cemerlang, jangan lupa diri kerana tu satu ujian daripada ALLAH untuk menguji sejauh mana hambaNya bersyukur.


Beberapa perkara yang saya ingin pesan dimusim exam ni..
  •   Jaga hubungan dengan ALLAH. Solat jangan diabaikan.
  •   Tingkatkan amalan sunat, baca Al-Quran setiap kali lepas solat
  •   Lazimkan diri solat berjemaah. Dari situ akan dapat ketenangan.
  •  Jaga kesihatan. Waktu makan, pemakanan. Jangan terlalu khusyuk study sampai tak makan pula.    Waktu tidur pun kena jaga. Bila tak cukup tidur akan beri kesan kepada tumpuan dan kesihatan.    Nanti exam jatuh sakit, lagi susah. 
  •   Jaga hubungan dengan ibu bapa. Bagi yang berkesempatan balik ke rumah, jumpalah ibu bapa. Bagi yang tidak berkesempatan, hubungilah mereka. Mohonlah doa dan restu daripada mereka. Hubungi mereka sebelum pergi tempat exam.
  • Kurangkan benda2 lagha. Online (facebook, youtube, twitter) bila perlu sahaja, dan limitkan masa. Nak hilangkan stress, ada caranya bukan dengan post status di facebook/twitter,  mian games. Jalan2 ambil angin petang2, tengok ciptaan ALLAH (terutama pokok hijau-dapat relakskan mata)
  • Dan, jadikan tempat study, macam sejadah kita =) -tempat ibadah-
Jadikan study week dan exam  sebagai latihan perbaiki segala2nya. Waktu ni lah kita rasa sepenuhnya pergantungan yang kuat kepada ALLAH. Lepas exam dan bila2 pun kita harap begitu juga. Semoga terus istiqamah. (^.^)


Akhir sekali, selamat maju jaya dalam exam, wish u all The Best ya..



Isnin, 10 Disember 2012

Warkah Cinta yang Tersia



Drama bersiri “Warkah Cinta” di TV AL-Hijrah telah mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malayasia. Ada yang memberi komen positif, negatif dan ada juga komen yang membina. Saya kagum dengan penulisnya Ust Ubaidillah yang serba boleh ni. Drama ini adalah adaptasi daripada Dwi Novelnya “Warkah Cinta Berbau Syurga” dan “Kala Cinta dan Wahyu Bersatu”. Inilah dua novel yang mula2 menjadi koleksi saya. Saya bukanlah peminat tegar novel, hanya sesetengah novel dan gaya penulisan serta mesej yang ingin disampaikan yang kena dengan jiwa saya, baru saya beli dan baca. Sesetengah novel, banyak khayalan yang tiada mesej yang ingin disampaikan sehingga membuatkan orang terbuai-buai membacanya. Tahniah Ust Ubaidillah kerana dah ketuk pintu hati saya, dengan karyanya yang sarat dengan mesej berguna. Harapnya bukan saya sahaja dapat menerima mesejnya, tapi Muslimin dan Muslimat di luar sana juga. Inisiatif beliau mendramakan novel ini adalah satu usaha yang sangat baik. Kepada yang belum tonton drama ni, tontonlah…mungkin kena dengan jiwa anda. =)

Eh..panjang pula muqaddimahnya. Itu novel dan drama Warkah cinta yang direka kisahnya oleh insan yang kreatif. Tapi Warkah Cinta ini bukanlah warkah cinta biasa, tapi warkah cinta pemilik segala cinta!

Nota ke 36, dalam buku Nota Hati Seorang Lelaki mengetuk kotak pemikiran saya yang mungkin dah lama membeku. Beku, tidak dicairkan dengan peringatan tentangNya.

“Kita tidak serius dengan solat”

Tidak serius sebab kita tidak rasa solat itu penting.

“Bagaimana nak rasa solat tu penting, walaupun kita dah tahu solat tu penting?”

Betul, kita tahu kepentingannya, tapi tak terasa. Tertinggal solat  tak rasa rugi, tak rasa bersalah atau tak rasa kesal. Solat pun lewat2 waktu. Solat tak khusyuk. Cukup rakaat sudah, tapi tak beri kesan pun.

“Tapi kalau hilang duit? Rumah terbakar? Harga barang naik?..”

Tu terasa betullah!

Rasulullah s.a.w, seorang Kekasih ALLAH. Dekat dengan ALLAH, tapi lihat bagaimana baginda begitu pentingkan solat sehingga bengkak-bengkak kaki akibat terlalu lama berdiri dalam solat. Para sahabat pun begitu. Abdul Rahman bin Auf r.a menginfakkan seluruh kafilah yakni unta-unta dan segala isinya kerana ingin menebus kelewatannya bertakbirratulihram dalam solat berjemaah bersama Rasulullah s.a.w.

“Mengapa kita berbeza dengan mereka?”

Bukankah kita juga solat lima waktu sama macam mereka. Jumlah rakaatnya sama. Kita juga ISLAM, macam mereka..

“Sebab kita tak rasa ALLAH penting dalam kehidupan kita!”

Astaghfirullah hal’azim…

Setuju tak jika saya beri contoh begini..

“Kita hanya akan berhubung dengan seseorang bila kita rasakan dia penting atau diperlukan. Betapa resahnya kita jika tidak dapat berhubung dengan ibu bapa, anak, isteri, sahabat handai yang rapat dengan kita…”


Bayangkan kita dalam kesusahan, tiada liputan talian..berhari2 tidak dapat menghubungi sesiapa…sudah pasti resah gelisah.

Kalaulah rasa seperti itu dapat kita rasa ketika terlambat untuk menunaikan solat.
Solat adalah masa yang kita peruntukkan untuk berhubung dengan ALLAH. Semasa takbiratulihram, kita angkat tangan “surrender” di hadapan ALLAH. ALLAH Maha Besar. Waktu tu hanya antara kita dengan ALLAH. ALLAH itu penting lebih penting daripada segala kepentingan lain di dunia ni. Setiap detik saat hidup ni, ALLAH yang tentukan. ALLAH sediakan segala-galanya untuk kita. Tanpa ALLAH siapalah kita, bagaimanalah kehidupan kita..

Jadi, tergamakkah kita melalaikan ALLAH yang begitu penting dalam hidup kita ini?
Berhubunglah dengan ALLAH dalam solat dengan memahami makna  bacaan dalam solat. Solat tanpa memahami makna bacaannya ibarat burung kakak tua yang berkata-kata tanpa memahami makna. Kita sujud, tapi hati kita tidak sujud…kita sebut Allahuakbar tetapi tidak terasa sedang “MembesarkanNya”.

“Itu baru kalimat2 ringkas. Macam dengan dengan tahiyat, iftitah, Al-fatihah?”

(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang; 

(Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Al-Ma'un : 4-5)

Emm..tidak hairanlah. Ramai yang solat tapi kemungkaran masih berleluasa di tengah masyarakat. Ini yang solat, yang tidak solat..ramai lagi.

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Al-Ankabut :45)


Itu baru bacaan solat yang tidak tahu maknanya, 6,666 ayat lagi dalam Al-Quran?

Banyaknya..kecilkan sedikit skopnya lagi.. 114 surah?

Dikecilkan lagi skopnya..30 juzuk?
Kecil lagi, 1 Al-Quran..
Kecil atau besar..itulah Warkah Cinta ALLAH buat hambaNya.


Bila dipersoalkan begitu..ah..betapa kerdilnya diri. Sudah 22 tahun hidup di dunia ni, kata2Nya terlalu sedikit yang difahami. Betapa terasa agama ini diikuti  tanpa erti. Mengamalkan tanpa penghayatan. Seperti pelajar yang membaca buku tetapi tidak faham, bolehkah dia lulus dalam peperiksaan?

Bayangkan..bagaimana agaknya rasa kita kalau menerima sepucuk surat daripada seorang kekasih, tetapi kita tidak faham apa yang dituliskannya. Wardah mengutuskan warkah buat Amir, dan Amir memahami isi hati Wardah yang telah jatuh hati kepadanya. Itu Amir memahami isi warkah Wardah, jika Amir tidak faham, ternyata Wardah kecewa.

*Amir dan Wardah ialah watak dalam drama “Warkah cinta”.

ALLAH- “Kekasih” orang  beriman itu telah mengutus 114 surahnya : berapa surah yang kita telah tahu maknanya, faham tafsirannya, amal kehendaknya dan perjuangkan tuntutannya?

Benar2kah kita cintakan ALLAH jika warkah cintanya (Al-Quran) tidak kita usahakan untuk membaca, memahami dan menghayatinya..?


114 warkah cintaMu..kami persiakan begitu sahaja…
Ya ALLAH..ampunilah kami yang jauh dari solat, jauh daripada Al-Quran, justeru terlalu jauh denganMu!

Astaghfirullah hal’azim..

Bukan Kau ya ALLAH yang jauh, tapi kami ini yang menjauh…

Khamis, 29 November 2012

Kita Amanah Mereka




"Ya ALLAH, ampunilah dosaku dan kedua ibu bapaku. Peliharalah (rahmatilah) mereka seperti mana mereka memelihara ku sewaktu kecil.."

Mereka adalah anugerah yang tidak ternilai dan tiada gantinya. 
Pengorbanan mereka sangat besar demi menjaga amanah ALLAH ini.  


9 bulan ibu mengandung amanahnya. Dengan susah payah, dia menjaga amanahnya dari awal usia kandungan sehingga melahirkan. Dalam kepayahan itu dia tetap menjaga kesihatan, kualiti ibadah dan terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri. Dia tahu. Dia sedang ‘membawa’ amanah ALLAH yang Agung dalam rahimnya. Buah cintanya bersama suami berpaksikan cinta kepada Ilahi. Ayah tetap setia di sisi ibu, menyelami susah payah ibu bersama amanahnya. Mereka tidak jemu berdoa kepada ALLAH agar amanahnya sihat, selamat dilahirkan dan menjadi hamba yang soleh kelak. Cukup masanya, ibu bertarung nyawa pula demi melahirkan  amanah ALLAH itu. Kesakitan hilang setelah melihat tubuh kecil dalam pelukannya. Dia mengukir senyuman paling indah buat suaminya “Inilah amanah kita” bisik hatinya. Subhanallah..dan saat itu bermulalah kembara mereka mendidik amanah ALLAH hingga akhir hayat mereka


Dari kecil hingga dewasa amanah itu dijaga dengan penuh kasih sayang. Di beri perlindungan, didikan yang secukupnya. Ada masanya ayah tegas menegur, jika amanahnya tersilap langkah Tegurannya tanda sayang, tidak mahu amanahnya dihumban ke neraka, di murkai PenciptaNya. Ibu jujur memberi nasihat. Tidak mahu amanahnya lalai dengan dunia. Mereka tahu amanah mereka kini adalah saham di akhirat nanti.
"Apabila matinya seorang anak Adam terputus segala hubungan di dunia, melainkan doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu bermanfaat yang ditinggalkan".
Oleh itu, mereka tidak putus asa memberi didikan agama mengenal Pencipta dan menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seharian. Mereka tidak lupa memberikan ilmu dunia sebagai nadi meniti kehidupan. Cinta mereka kepada amanah itu tinggi menggunung, kerana cinta kepadaNya. Mereka tidak akan mengabaikan amanah ALLAH itu demi cinta mereka kepada ALLAH, sehinggalah mereka menutup mata.

"Mereka lah, IBU, AYAH.."

 Wahai anakku, amanahku 
Sudah sampai masanya ibu dan ayah pergi menghadapNya. Alhamdulillah, dengan izin ALLAH ibu dan ayah telah menjaga amanah titipan ALLAH ini dengan sebaiknya  sepanjang hayat ibu dan ayah.
Anakku, engkaulah amanah ALLAH yang paling istimewa dalam hidup kami. Siapa pun dirimu sekarang, adalah hasil usaha didikan yang kami berikan. 
Kini tiada lagi doa daripada kami mengiringi perjalanan hidupmu. Jagalah dirimu dengan baik. 

Wahai anakku, amanahku 
Ketahuilah, kelak dirimu jua akan diberikan amanah untuk dijaga. Isteri/suami, anak2, jawatan, harta benda dan orang dibawahmu lah yang bakal menjadi amanahmu. Setiap daripadanya akan dipersoalkan bagaimana engkau menjaga amanah-amanah ini.

Dan paling penting, ingatlah bahawa dirimu sendiri adalah amanah ALLAH  yang mesti dijaga. Jagalah ibadahmu, akhlakmu dan segala nikmat yang diberikan kepadamu sebaiknya. Ke mana pun engkau pergi, ingatlah wahai anakku…engkaulah hamba ALLAH yang Maha Kuasa. Jangan sesekali mempersekutukannya dengan sesuatu. 
Hanya Dia  menciptakanmu daripada tiada…kepada ada..menghidupkan dan mematikanmu. Hanya kepadaNyalah engkau dikembalikan.



 ***
Siapa pun kita sekarang...ingatlah kita adalah amanah ALLAH buat ibu bapa yang dikasihi. Kelak mereka akan dipersoalkan bagaimana mereka menjaga amanah ALLAH. Mereka tanggungjawab kita, dan kita adalah tangungjawab mereka buat  selama-lamanya. Sebagai anak, kita sendiri perlulah sedar bagaimana  untuk 'membantu' ibu bapa menjaga amanah mereka.

Hargailah ibu bapa kita selagi hayat mereka masih ada. =')

* Terima kasih mak, abah untuk segalanya..

Isnin, 26 November 2012

Merancang Mati untuk 'Hidup'



"Merancang mati untuk hidup", agak pelik bunyinya, jika tidak dihayati maksudnya.
Itulah hakikat.
Kita hidup di dunia sangat sekejap , kemudian mati dan kita akan hidup semula untuk hidup selama-lamanya!
(Renung seketika perjalanannya..)




Beberapa hari lepas, jiran sebelah rumah di Gua Musang meninggal dunia. Sehari sebelum itu abah saya ada berbual-bual dan menghulurkan buah rambutan kepadanya. Arwah masih sihat waktu tu. Masih boleh tersenyum. Siapa sangka, keesokan harinya kami sekerluarga diberitahu arwah meninggal dunia. Sakit jantung mengejut. Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun.. Arwah pergi dalam keadaan keluarganya dan semua kenalan belum bersedia akan kehilangannya. Benarlah, kematian itu sangatlah dekat dan pasti. Bila, bagaimana, di mana itu rahsia ALLAH. Namun, kematian yang pasti inilah yang sering kali dilupakan. Astaghfirullah...


Satu teka-teki.


Orang yang menjual tidak mahu pakai, Orang yang beli pun tidak mahu pakai. Tetapi orang yang pakai tidak sedar dia memakainya..apakah benda itu?


 Kain kapan.


Ya. Kain kapan. Kita semua akan memakainya dalam keadaan kita sudah tidak sedar.


Pada saat itu, adakah kita benar2 sudah bersedia? Perancangan sudah ada? ALLAH...takut benar rasanya.

Jika kehidupan di dunia, penuh dengan pelbagai rancangan..itu ini, kalau tak dapat buat macam ni, buat macam tu. Semuanya ada perancangan. Hidup tanpa perancangan, maka kucar kacirlah hidupnya. Pelbagai bengkel, buku2 motivasi yang menjelaskan perancangan hidup seperti ilmu, kerohanian, keluarga, kewangan, kerjaya dan sebagainya. Semuanya untuk memastikan kehidupan berjalan dengan lancar.

Bagaimana pula dengan perancangan mati?


"Perancangan untuk hidup itu perlu. Tetapi perancangan mati lebih perlu. Kerana kematian itu bukanlah satu pengakhiran tetapi satu permulaan hidup yang tidak mati2 lagi! " 


ALLAH...terkedu saya bila diingatkan begitu.


Rancanglah segala urusan kehidupan dunia, niatkan kerana ALLAH, menjaga prinsip syariat ALLAH dan batas akhlak, semuanya akan menjadi ibadah. In syaa ALLAH. Apabila semuanya menjadi ibadah, itulah juga amalan taqwa. Bukankah taqwa itu bekalan menuju akhirat..


Kemudian, rancang strategi untuk menjawab soalan bocor.


Ya, soalan bocor yang akan ditanya di alam Mahsyar kelak. Kita sudah didedahkan dengan soalan2 tersebut  melalui hadis2 dan ayat Al-Quran. Jadi, boleh lah kita hafal sebelum mati..(ini pemikiran manusia yang tidak tahu). Tidak, tidak semudah itu. Menghafal sahaja bukanlah strategi yang menjamin kita boleh menjawab segala soalan tersebut..bahkan ia hanyalah satu bonus untuk kita bersedia dengan ilmu untuk menjawabnya.


"Kita akan menjawabnya bukan dengan fikiran dan lidah. Orang yang bijak dan petah sekalipun akan menjadi dungu dan bisu. Kecuali orang yang beramal, waktu itu amalan kita di dunia sahajalah yang akan menjadi saksi dan pembela untuk menjawabnya. Rancanglah apa yang perlu kita buat dengan ilmu yang ada, kemudian teruskan beramal.."


Teringat pengisian usrah satu ketika dulu.


" Jika kita nak ke mana2 dalam dunia ini untuk tempoh sekejap atau lama, kita akan bersiap. Tarikh, masa semua kita rancang. Kalau boleh tak nak patah balik sebab tertinggal itu, tak cukup ini. Betol tak?

TAPI..nak pergi satu tempat kekal (akhirat) yang kita tak boleh patah balik lagi dan kita tak tahu pun bila kita akan pergi...adakah kita sudah bersiap sedia?.."

Semua ahli usrah terdiam, merenung persiapan masing2..ALLAH....



Berdoalah agar ALLAH memberi kita hidayah untuk sentiasa mengingatiNya..



Kita manusia, yang sering lupa. Apabila diingatkan..subhanallah. ALLAH masih sayang kita. sebab tu ALLAH ingatkan kita.. =')


Khamis, 8 November 2012

Harga Cinta Padaku.




Harga cinta,
Mahal padaku,
Kerana cinta  bukan sekadar pada manusia, 
Tetapi bermula dengan Tuhanku Yang Maha Agung.

Kalau benar cinta,
Hendak bersama hingga syurga,
Kerana pencinta kepada Rabbku semuanya berhajat ke sana,
Dari situ dasar cinta aku bina,
Kepada makhluk yang lainnya.

Tidak akan aku bawa kepada murkaNya,
Tidak akan aku tarik kepada nerakaNya,
Tidak pula aku susahkannya dengan dosa-dosa,
Sambil menjaganya, diriku aku perhatikan jua.

Harga cinta padaku mahal,
Apakah yang lebih mahal daripada syurga?
Itulah dia cintaku,
Membawa ku ke sana,
Bukan kepada selainnya.

Apa-apa yang ke neraka,
Menjemput murkaNya,
Itu bukan cinta.
Bukan.


Persiapan itu satu kemestian untuk meraih cinta yang mahal harganya..


* Berusaha mempersiapkan diri dengan memperbaiki hubungan dengan ALLAH. Perkara paling penting yang mesti dititik beratkan.Kerana cinta itu mahal, semahal syurgaNya.


* Mempertingkatkan kefahaman tentang Islam. Apakah sudah diusahakan supaya perkara-perkara asas seperti ibadah dan pengurusan hidup secara Islam difahami?


* Memperbaiki hubungan dengan ahli keluarga dan sahabat-sahabat. Belajar memahami dan menyayangi mereka.


* Persediaan mental dan emosi. Berusaha menjadi individu yang paling mudah bertolak ansur,  bersabar dan berlapang dada.


* Persiapan perancangan kehidupan. Berusaha mencapai cita-cita dan wawasan hidup diri sendiri dan bersamanya kelak.


* Persiapan dari sudut kewangan.



* Adapatasi dari buku 'Sebelum Aku Bernikah' karya Hilal Asyraf.




Khamis, 18 Oktober 2012

Kami ingin mencintaiMu..






Duhai hati
jangan jauhi ALLAH..
Ke mana pun kau lari.. ALLAH ekori mu rapat-serapatnya,
Duhai hati
Jangan sisihkan ALLAH
Ke mana pun kau sembunyi… ALLAH ada sedekat-dekatnya

Terlalu menarik isi kandungan dalam majalah Gen-Q. Tidak tahu yang mana ingin saya kongsi kan. Ingin di’fotostat’ semuanya..tidak wajar sekali. Jika ingin membaca keseluruhan isinya dan terlepas keluaran ni, boleh la pinjam dengan saya nanti. InsyaALLAH. Saya cuba ringkaskan isi kandunganNya disini agar saya dapat membawa anda meneroka cintaNya bersama. Selamat meneroka!

KRONOLOGI CINTA



“Percayalah, kita boleh mengetahui siapa yang bertakhta di hati seseorang itu dengan memerhatikan kekerapan dia menyebut sesuatu nama dalam setiap perbualannya”




Ini satu petikan kata2 yang saya ambil. Emm..ada benarnya. Bercakap soal cinta, pasti terbayang si jejaka dan si dara manis yang sedang asyik bermadah cinta. Dilamun ombak rindu. Terfikir kah kita kepada Yang Maha Pencinta yang menganugerahkan rasa cinta? Adakah Dia yang diagung2kan dalam setiap tutur bicara kita? Oh..sangat jarang bukan kita ingat kepadaNya. Bagaimana cinta kita kepadaNya? Adakah cinta kepadaNya melebihi segala makhluk di muka bumi ini? Ya ALLAH...ampunilah kami.

Maafkan  saya kerana melontar soalan bertalu-talu. Dengan bertanya, kita boleh muhasabah bersama-sama.  Benar, kita sedang mencari cinta. Dia mendahului kita dengan mencintai kita.Dia berikan segala apa yang kita perlukan dalam hidup ini, walaupun kita sering minta apa yang kita ingini. Tapi... kita sering lalai dan lupa akan cintaNya. Jika si kekasih di layan sebegini, sudah lama retak hubungannya. Saya tidak mahu mengagungkan cinta si kekasih. Cukuplah sekadar satu analogi yang mudah nampak dan jelas.  Ayuh kita buat perbandingan kronologi cinta manusia sesama manusia dengan kronologi cinta manusia kepada ALLAH.

Manusia + Manusia
Permulaan :
 Berkenalan dengan seseoarang, sama ada secara rawak atau dikenalkan oleh kenalan.
Detik kedua
Ingin memahami seseorang yang dikenali itu dengan lebih mendalam kerana ada sesuatu yang istimewa padanya.
Tanda cinta
Tidak dapat melupakan seseorang yang dikenali itu. Pagi, petang, siang, malam asyik terbayang. Ketika itu jika seseorang yang dikenali itu meminta apa-apa bantuan, maka akan diturutkan seikhlas jiwa.

Betol tak kronologi ni? Pasti anda sedang tersenyum sekarang ini.. Ya, kerana anda pernah mengalaminya. Ops! Bukan maksud saya anda pernah bercinta. Masih ingatkah bagaimana berputiknya cinta kita ibu bapa, guru2 dan sahabat kita? Bukankah seperti ini juga kronologinya =)

Mari kita semak kronologi cinta Mencintai ALLAH.

Permulaan : 
Belajar dan mengenali Maha Pencipta melalui ibu bapa dan guru di sekolah.
Detik kedua : 
Memerhati, merasai dan memahami setiap ciptaan ALLAH yang boleh dilihat oleh mata, yang boleh didengar oleh telinga dan yang boleh dirasa dengan lidah.
Tanda Cinta :
Setiap masa teringatkan ALLAH. Menghargai segala ciptaanNya. Bersyukur atas nikmat yang diberikanNya. Mentaati segala perintah dan menghindari larangannya dengan penuh keikhlasan.

……Ayuh muhasabah….di manakah tahap cinta kita kepadaNya. Jika kronologi cinta kepada manusia sudah sampai tahap tanda cinta, kronologi cinta ALLAH di tahap mana..permulaan, detik kedua atau tanda cinta..?

Teruskan usaha kita untuk sampai ke tahap kita benar-benar mencintaiNya. Gunakan peluang nikmat yang masih diberikanNya sebaik mungkin sebelum segala nikmat yang dipinjamkanNya, ditarik balik. InsyaALLAH....moga ALLAH istiqamahkan hati kita.


MERAIH CINTANYA

3 Kunci untuk meraih cinta ALLAH.

1.       Mencintai Kalam cintaNya (Al-Quran)
Adakah kita mencintai Al-Quran dengan membacanya setiap hari, ketika dalam keadaan susah dan senang?
Sekiranya kita mendapat SMS atau surat cinta daripada seseorang yang kiat cintai sudah tentu kita tidak akan membacanya berulang-ulang kali.
Inikan pula Kalam cinta daripada pemilik segala cinta. Sepatutnya kita tidak jemu membaca, membawanya, cuba menghafal bait2 ayat cintaNya. Bersedih dan takut apabila membaca ayat2 tentang azabNya, tersenyum membaca ayat2 tentang nikmatNya.

2.       Mencintai Kekasihnya (Rasulullah s.a.w)
“Katakanlah : Jika kamu benar-benar mencintai ALLAH, ikutilah aku, nescaya ALLAH mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu” (Al-Imran:31)
Apabila diri mengakui mencintai Rasulullah s.a.w, sepatutnya Baginda menjadi contoh dan ikutan kita. Banyak berselawat atas Baginda dan mengikut sikap dan gaya hidup Baginda s.a.w agar ALLAH mencintai kita.

3.       Berzikir kepadaNya

“ Maka ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat kepadamu dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengingkari nikmatKu” (Al-Baqarah : 152)

Sekiranya kita ingin mencintai ALLAH, maka basahilah lidah dengan menyebut nama ALLAH sentiasa. Amalan kebiasaan yang sering diamalkan, lama-kelamaan akan sebati dalam diri. Biarlah diri kita pergi menghadapnya dengan mengingatiNya. Mulakan dengan sedikit tapi istiqamah. InsyaALLAH akan sentiasa diilhamkan untuk menyebut namanNya. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahukabar.

InsyaALLAH apabila kita mengamalkan ketiga-tiga kaedah ini sudah pasti ALLAH yang Maha Penyayang akan sentiasa menyuburkan cintaNya kepada setiap insan yang tidak pernah jemu mengingatiNya!

***


terasa seperti sedang berusrah pula…(^.^)

Jumaat, 12 Oktober 2012

Travelog Iman Seorang Doktor (3)





Sunyinya waktu pagi ni. Teringat zaman kampus dulu. Waktu macam ni dah bersiap pergi ke kelas. Bersenam, setiap hari (berjalan kaki) dari rumah sewa ke kampus. Alhamdulillah, menyihatkan. Sekarang bila dah lama tinggalkan rutin harian ni, badan pun dah sakit2. Kat sini nak berjalan waktu pagi sorang2, sunyi..tak ramai orang lalu lalang.  Tak sibuk  macam jalan di Penang. Nak berbasikal, jarang sangat dah buat. Jadi nak mengisi waktu macam ni, selalunya buat kerja rumah, baca buku, ataupun online. Suka tengok status adik2 di kampus….boleh update perkembangan mereka juga.

Cepatnya masa berlalu. Dah 3 bulan saya bercuti. Bertanya kepada kawan yang dah bergraduasi, tengah buat apa sekarang? “tunggu pokok anggur berbuah”. Jawapan yang bagus, sesuai dengan kami student Agro…hehe. Belum ada rezeki untuk dapat kerja. Ikutkan banyak iklan jawatan kosong, dah isi. Tapi rezeki tu kuasa ALLAH. Tak boleh nak salahkan sesiapa. Yang penting usaha. =)

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu). (Saba’ : 36)

***

Travelog Iman Seorang Doktor (3) fokus saya sebenarnya. Teringat kepada sahabat2 saya yang ambil jurusan perubatan di PMC, USM Kubang Kerian yang akan menduduki peperiksaan minggu hadapan. Sekarang mereka sedang bertungkus-lumus bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Semoga dipermudahkan urusan kalian.

Satu bahagian dalam buku ini mengingatkan saya kepada sahabat2 saya ini.

Doktor Muslim dan Doktor non Muslim

Pandangan saya sebelum ini waktu kecil2 : ‘Ramainya Dr yang berbangsa cina, sangat sikit Dr Melayu. Mereka ni rajin sebab tu pandai, dapat jadi Dr.’

Sekarang : ‘Alangkah baiknya, ramai Dr Muslim daripada Dr non Muslim.’
Dr Muslim (definisi saya) ialah seorang Dr yang mengamalkan cara hidup Islam keseluruhannya. Menjaga hak ALLAH dan hak sesama makhluk. Bukan Islam pada nama atau keturunan.

Apakah yang membezakan Dr Muslim dan non Muslim.

Kerajinan?  Mereka sama2 rajin sehingga berjaya menjadi Dr.

Keberanian ? Semua Dr mesti berani.

Disiplin? Mesti ada.

Dr. Khalid bin Abdul Aziz Al-Jubair, mengatakan dalam bukunya. Inti perbezaan yang sekali gus membezakan kelebihan Dr Muslim dan non Muslim ialah Dr Muslim ini menaruh harapannya kepada ALLAH yang mana tidak mungkin dilakukan oleh Dr non Muslim. Hebat bukan? Adanya ALLAH dalam setiap jiwa manusia yang beriman sekali gus membezakan manusia hebat yang tiada ALLAH dalam jiwanya. =’)

Jika niat seorang Dr Muslim itu tulus kerana ALLAH, dia akan segera menghadap ALLAH dengan berharap kepadaNya, meminta pertolongan kepadaNya, merayu dan berdoa kepadaNya. Semua ini bersumber daripada rasa takutnya kepada ALLAH.

Perbezaan ini ibarat senjata ampuh yang berada dalam genggaman seorang Dr Muslim. Jika dia menggunakannya dengan bersungguh2, senjata tersebut akan mempunyai kebarangkalian yang besar dalam menyembuhkan pesakitnyaa dengan izin ALLAH. Rasa takut (berhati-hati) dalam merawat pesakitnya. Seorang Dr Muslim yang berhati-hati melaksanakan tanggungjawabnya, hubungannya dengan ALLAH akan semakin kuat. Hubungan tersebut membentuk harapan, memohon pertolongan dan ketundukan, maka ALLAH akan membimbingnya dan memudahkan urusannya.  Begitulah betapa pentingnya menjaga hubungan dengan ALLAH. Seorang Dr Muslim akan sentiasa mendoakan pesakit dalam doa dan tidak merasa bangga diri atas hasil baik yang dia dapatkan.

"Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila dia berdoa kepadaNya dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu)." (An-Naml : 62)

Dr Muslim yang sentiasa berusaha memperbaiki hubungannya dengan ALLAH. Bukan sahaja dalam urusan merawat pesakitnya sahaja, dia mengamalkan cara hidup Islam yang diajar Rasulullah s.a.w seperti yang digariskan dalam Al-Quran. "Ruqyah". Di samping ubat-ubatan yang dibekalkan kepada pesakit, adalah baiknya Dr bekalkan juga ayat-ayat ruqyah kepada pesakit untuk diamalkan. Ramai Dr, mahupun orang2 yang menderita sakit yang melupakan fadhilat ruqyah ini. Begitu juga dengan orang2 yang melawat orang sakit, bacalah ruqyah dengan membaca Al-Fatihah, Al-Mu’awwizat (Surah Al-Falaq dan An-Nas) dan doa2 yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Ingatkan lah kepada orang yang sakit banyak kan berzikir kepada ALLAH daripada merungut kerana sakitnya.

Ali bin Abi Thalib berkata :


"Jika engkau sabar, takdir akan terus berjalan dan engkau mendapat pahala. Sedangkan jika engkau merungut, maka takdir pun akan terus berjalan pula dan engkau mendapatkan dosanya."


Sekiaranya ALLAH mengizinkannya kembali sihat, maka mereka itu telah mendapat dua balasan. Pahala atas kesabarannya dan pengharapannya, serta balasan berupa kesihatan. Namun jika ALLAH mentakdirkan lain kepada orang tersebut dengan tidak memberikan kesembuhan kepadanya, maka dia akan mendapat pahala dari pengharapan  dan kesabarannya itu.



***




Alhamdulillah, selesai sudah Travelog Iman Seorang Doktor. Tidak semua isi saya kongsikan. Sekadar perkongsian ringkas dari saya. Untuk keseluruhan isinya, boleh la anda miliki buku ini dan membacanya. insyaALLAH sangat bermanfaat. Di rumah mak dan kakak saya pun turut membacanya. Ok, selamat membaca. =)


***

Kepada sahabat2 yang menduduki peperiksaan minggu hadapan, teruskan usaha. Saya bukan dalam bidang kalian, mungkin saya tidak mengerti perit usahanya. Hanya doa mampu saya kirimkan untuk kalian. InsyaALLAH kelak akan lahirnya Dr Muslim (definisi saya) dan saya harapkan sebahagian daripada mereka itu adalah kalian. Amin.

Sedikit bingkisan  buat kalian.

Dr Muslim itu,
Menguasai segenap bidang keilmuan dan profesioanlismenya,
Mengikuti perkembangan bidang kepakarannya,
Selalu berusaha sekuat tenaga mengembangkan kemahirannya,
Sentiasa siap mengorbankan segala hal yang paling mahal dalam hidupnya.

Dr Muslim itu,
Tidak pernah merasa tinggi hati,
meskipun dia mempunyai tingkat akademik tertinggi.
Tidak jemu menuntut ilmu,
meskipun dia telah banyak memakan asam garam dalam kariernya.
Tidak pernah putus asa atau bosan, 
Meskipun payah meniti liku perjuangannya.

Dr Muslim itu,
Hatinya sentiasa takut dan harap kepada ALLAH,
Kerana itu sumber kekuatannya.
Hatinya tulus, 
Ikhlas menuntut ilmu kerana ALLAH
Sejak mula dia menuntut ilmu.
Hatinya tenang,
kerana hatinya sentiasa mengingati ALLAH
Hatinya bahagia,
sehingga mampu membahagiakan setiap jiwa yang berada disampingnya.

Kuncinya hanya satu,
ALLAH sentiasa dekat di hati Dr Muslim itu.


***


Wassalam...