Halaman

Sabtu, 3 Julai 2010

Musibah..bukalah mata hati..

Apakah itu musibah..

Musibah atau ujian ditakrifkan sebagai sesuatu yang tidak disukai oleh manusia seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan dan pelbagai bencana lagi.
Tiada siapa yang dapat mengelak daripada semua ini..kerana ianya adalah lumrah hidup sebagai manusia, yakni hamba ALLAH.

"Sesiapa yang menyangka sifat kasih sayang ALLAH terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hatinya"


Pernahkah kita merasa sedih dan kecewa apabila ditimpa sesuatu musibah?
Adakah kita menyalahkan diri sendiri, orang lain atau takdir?
Sedarkah kita bahawa ada hikmah disebalik musibah ini..
ALLAH hadirkan musibah dalam hidup kita untuk menyerlahkan nilai diri kita di sisi ALLAH..dengan menilai sejauh mana keimanan hati kita.

"Sesungguhnya ALLAH tidak melihat rupa kamu tetapi ALLAH melihat hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)

Apabila diuji dengan sakit, baru kita ketahui tahap kesabaran dalam hati kita. Apabila diuji dengan kegagalan, baru kita ketahui sejauh mana kita berusaha selama ini. Ujian yang didatangkan untuk menilai dan mengukur semula sejauh mana keimanana kita kepada. Hal ini kerana iman dan ujian saling berkaitan. Lebih tinggi tahap keimanan seseorang semakin berat ujian yag diterimanya.

Rasulullah, kekasih ALLAH turut menerima ujian daripada ALLAH. Malah ujian yang diterima baginda amatlah berat jika dibandingkan dengan apa yang kita alami sekarang ini. Sejak dari kecil baginda diuji dengan kematian orang-orang tersayang dalam hidup baginda. Kematian bapa semasa masih lagi berumur 2 bulan dalam kandungan ibu, diikuti dengan ibu baginda semasa berumur 6 tahun. Banyak ujian yang diberikan kepada baginda sepanjang hayatnya, namun baginda menghadapinya dengan penuh keimanan.

"Manusia yang paling kuat diuji adalah para rasul kemudian yang mengikutinya, kemudian yang mengikutinya sesuai dengan tahap iman masing-masing" (Riwayat Ahmad)

Setiap orang akan merasai ujian dalam hidupnya, tidak kira sama ada yang baik atau yang jahat. Cuma bagaimana keadaan seseorang semasa dia ditimpa musibah dan bagaimana dia menghadapi ujian itu menentukan darjatnya di sisi ALLAH. its not what happens to you, but it's what you do about it.. Kita sering tertanya apakah sebab ALLAH memberikan kita ujian ini? pada hakikatnya sebab itu bukanlah penting, tapi apa yang kita lakukan untuk menghadapinya itu yang sebenarnya lagi penting. Jadi amat berbeza sekali apa yang dilakukan oleh orang yang akrab dengan ALLAH berbanding dengan orang yang jauh daripada ALLAH walaupun ujian yang menimpa mereka adalah sama.Kita mampu mengubah ujian itu menjadi satu kebaikan sekiranya kita dapat merasai hikmahnya dan bertindak selaras dengan hikmah tersebut.



Sungguh lemah diri kita jika kita tidak mampu melihat dengan mata hati setiap musibah yang menimpa diri kita pada saat itu..alangkah ruginya kita kerana tidak merasa betapa syahdunya kasih sayang ALLAH kepada kita.. mana mungkin kita akan diberi ujian sehebat ini, jika kita tidak dikasihinya...

"Apakah manusia menyangka bahawa ia akan dibiarkan begitu sahaja dengan pengakuan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?" (surah Al-Ankabut 29:2)

Tatkala terbaca tafsir ayat ini, baru kita sedar, berimankah kita selama ini? Adakah kita sudah benar-benar diuji? Malu rasanya untuk mengaku diri ini telah beriman kepadamu Ya ALLAH..




Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan