Halaman

Isnin, 31 Januari 2011

Siswa dan siswi...beginilah seharusnya kita....

Wahai siswa dan siswi, penganut Islam yang taat!

Begini seharusnya kita dalam menghadapi natijah yang dikirimkan oleh Allah Ta’ala. Jangan sekali-kali dimungkiri ketetapan yang diutuskan oleh Tuhan. Apa jua sekalipun keputusan peperiksaan yang diterima, adab-adab dengan Allah Azzawajalla tetap perlu dipelihara.

Usah terlalu ghairah menurutkan hawa nafsu hingga tertonjol akhlak mazmumah, apalagi sampai menderhakai Tuhan. Kejayaan yang diiktiraf manusia tidak bermakna dijanjikan kemenangan di sisi Allah Ta’ala.


1. Sentiasalah bersangka baik dengan Allah Azzawajalla
"Mereka berprasangka yang tidak benar terhadap Allah, seperti prasangka jahiliyah; mereka berkata: ‘Apakah ada bagi kita sesuatu (hak campur tangan) dalam urusan ini.’ Katakanlah: ‘Sungguh, urusan itu seluruhnya di tangan Allah.” (Ayat 154, surah Ali Imran).

Ibnu Qayyim mentafsirkan ayat ini dengan membahagikan prasangka buruk terhadap Allah Ta’ala kepada tiga kategori, meliputi;
• menafikan adanya hikmah dari Tuhan,
• menolak takdir-Nya,
• mengingkari bahawa agama Islam bakal dimenangkan oleh Allah Azzawajalla.
Sedarilah bahawa tindakan menolak qada’ dan qadar Tuhan menjadikan individu tersebut tidak ubah seperti kelompok kafir sebagaimana yang dikhabarkan di dalam Al-Qur’an. Malah, turut menjejaskan kekukuhan tiang iman lantaran keingkaran terhadap salah satu rukunnya!

Demi menyelamatkan diri dari perbuatan yang membahayakan iman ini, solusi yang terbaik ialah dengan berusaha sedaya mampu untuk mengenal Allah Azzawajalla berdasarkan asma’ dan sifat-Nya yang tiada tara kemuliaannya.

Betapa nama-nama Allah Ta’ala yang suci telah menggambarkan sifat Allah Azzawajalla sebagai Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Bukankah Tuhan telah menyediakan bermacam kurniaan untuk segenap makhluk ciptaan-Nya, lalu adakah semudah itu untuk kita mengingkari penghakiman Tuhan hanya kerana secebis markah peperiksaan?

Inilah petanda kufur nikmat yang kian merajai diri. Belajarlah untuk meredhai segala aturan Tuhan. Kita harus percaya bahawa setiap dugaan yang mendatang ialah ujian-ujian dari Tuhan dan pastinya di balik setiap ketetapan itu Allah Azzawajalla jauh lebih mengetahui akan baik dan buruk.

Beban cubaan yang menimpa ini juga tidak sekali-kali melampaui kemampuan individu yang diuji. Yakinlah bahawa tribulasi yang berjaya ditempuh akan meninggikan darjat keimanan para hamba yang senantiasa berhajatkan mardhatillah. Tiap-tiap tangis sedih itu bakal digantikan dengan riang tawa ahlul Jannah jika sabar jadi perisainya.

2. Melakukan sujud syukur dan ibadah-ibadah sunat yang lain

Rasulullah Solallahu ‘alaihi wassalam telah digambarkan sebagai hamba yang paling bersyukur, apabila Baginda bersolat sunat sehingga pecah kedua tumitnya.

Lalu Baginda ditanya tentang amalannya yang sebegitu rupa, sedangkan dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang sentiasa diampunkan oleh Allah Ta’ala. Jawapan Baginda cukup mudah namun menggugah jiwa;
“Tidakkah aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Sedangkan Rasulullah Sollahu ‘alaihi wassalam yang sudah terbina mahligai buatnya di Syurga beribadah sebegitu hebat, apatah lagi jiwa-jiwa yang masih belum diketahui nasibnya di akhirat kelak. Manifestasi syukur Baginda terlalu mengagumkan dan wajar diikuti oleh umatnya di setiap ketika, bukan hanya apabila suatu kesukaran datang merintangi.

Seakan-akan telah wujud suatu persepsi tipikal bahawa amalan sunat hanya perlu digiatkan apabila musim peperiksaan makin hampir. Sujud syukur hanya akan dikerjakan hanya apabila gred yang diperolehi sejajar dengan apa yang dicita-citakan. Ini adalah anggapan yang tidak tepat dan perlu disingkir jauh-jauh.

Meningkatkan amal ibadah menjelang peperiksaan adalah sikap yang terpuji. Namun lebih terpuji jika rutin yang membuahkan pahala itu dilaksanakan secara berterusan biarpun selepas tamat peperiksaan. Malahan, hingga ke akhir hayat!

Jadikanlah detik-detik getir peperiksaan yang mendekatkan kita dengan Tuhan sebagai satu permulaan untuk berbuat amal soleh, lalu diiringi dengan iltizam untuk beristiqamah sehabis mungkin mungkin. Sama ada keputusan yang diterima itu memenuhi impian atau mungkin terdapat sedikit kurangnya, tetaplah mengerjakan sujud syukur.

Juga puasa sunat yang berperanan untuk membersihkan kalbu. Tidak mendapat apa yang dicita-citakan bukanlah suatu alasan untuk meninggalkan amalan menyembah Allah Azzawajalla. Jangan sekali-sekali bersifat sombong dan seolah-olah merasakan ada kondisi yang mesti dipatuhi sebelum ibadah ditunaikan. Apabila hajat yang dikejari dimakbulkan, barulah dahi mencecah sejadah. Jika tidak, jauh sekali!

3. Elakkan dari sikap suka menyalahkan pihak lain

Lebih kritikal juga lain-lain pihak turut dibabitkan sebagai punca kegagalan di dalam peperiksaan. Lazimnya yang terlebih dahulu ‘disabitkan’ kesalahannya ialah pensyarah. Tuduhan yang cukup popular ialah pensyarah yang begitu tegas ketika menanda kertas jawapan atau dalam erti kata lain, kedekut markah!

Lalu timbullah dosa-dosa yang lain angkara kejahatan lidah seperti mengumpat, mencela atau memburuk-burukkan pendidik yang hakikatnya tidak bersalah! Adakalanya, kawan-kawan turut menjadi mangsa. Konon-kononnya, tidak mahu berkongsi soalan yang ‘bocor’ atau mungkin juga menolak untuk berkongsi ilmu di dalam subjek yang tertentu.

Sememangnya tindakan yang zalim apabila pihak yang tidak tahu menahu diheret ke dalam kancah masalah. Apatah lagi jika masalah itu terjadi akibat kelalaian diri sendiri. Adalah tindakan yang kurang bijak jika kita enggan mengaku kelemahan sendiri, lalu memindahkan beban kesalahan itu ke atas bahu orang lain.

Malahan, tindakan itu tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Semailah rasa keinginan untuk berdikari dan berhentilah dari menuding jari dalam hal-hal berkenaan tanggungjawab sendiri. Ayat 11, surah Ar-Ra’d ada menyatakan bahawa Allah Ta’ala tidak akan mengubah nasib suatu kaum, melainkan mereka sendiri yang mengubahnya.

Sentiasalah berusaha untuk memperbaiki prestasi diri sendiri. Jika kita ingin berjaya, maka cubalah untuk mendapatkannya! Pastikan setiap langkah kita ditemani tawakkal secara total terhadap Allah Ta’ala. Harus diingat, hanya Tuhan yang mampu untuk mengurniakan kesejahteraan di dalam kehidupan. Pintalah semahu-mahunya menerusi do’a dan zikrullah. Jika ada lain-lain pihak yang masih dirasakan bersalah di dalam suatu hal, biarkan saja mereka dihakimi oleh Allah Azzawajalla.

4. Mengambil positif dari apa yang berlaku

Tidak mendapat keputusan yang memuaskan bukanlah suatu petanda bahawa hayat pengajian bakal terhenti di situ. Menangislah sepuas-puasnya setelah meneliti slip keputusan. Setelah puas teresak-esak, hentikan setakat di situ.

Buang jauh-jauh perasaan sedih dan gantikannya dengan rasa kesal. Gantikan pula rasa kesal dengan keinginan untuk meningkatkan kualiti pembelajaran. Hapuskan terus sebarang fikiran negatif yang bakal memakan diri sendiri.

Sebaliknya, carilah sebanyak mungkin justifikasi positif demi membina diri. Lupakan apa yang telah berlaku kelmarin dan bukalah lembaran yang baru. Meninggalkan peristiwa yang terdahulu tidak bermakna melarikan diri dari hakikat kebenaran.

Realiti lampau masih perlu ditelan, namun perlu dilihat dari persepsi yang ada manfaatnya. Dikhuatiri jika kita terlalu mengenang kegagalan yang lepas, maka akan matilah semangat dan lenyaplah harapan yang langsung tidak membawa diri ke daerah yang lebih bercahaya.

Pandanglah ke hadapan kerana jalan di hadapan masih luas terbentang. Esok dan lusa tetap setia menanti kehadiran jiwa-jiwa yang tidak tewas dengan kekalahan lalu. Inilah kekuatan seorang Muslim, tidak akan sekali-kali meratapi kekecewaan yang dialami.

Lantaran keyakinan yang tinggi memuncak bahawa kita tidak pernah bersendirian sebab Allah Azawajalla sentiasa ada di sisi kita! Allah Ta’ala mewahyukan di dalam ayat 155, surah Al-Baqarah bahawa cubaan dalam bermacam bentuk pasti akan ditimpakan kepada para mukmin, dan sampaikanlah berita gembira untuk orang-orang yang sabar.

Sahutlah khabar yang mendamaikan kalbu ini dengan sepenuh hati, dan tetapkanlah diri dalam kesabaran. Jadikanlah kesilapan yang sudah sebagai pembangkit kekuatan untuk mengecapi kemenangan. Jangan sekali-kali berputus asa. Orang tua di kampung halaman akan terus menantikan kejayaan anak-anaknya yang ditatang dengan penuh kasih!

5. Beriltizam untuk berubah
“Orang yang beriman tidak akan disengat dua kali di lubang yang sama.” (Hadith riwayat Muslim).

Benar, mukmin tidak wajar melakukan kesilapan yang berulang lantaran gagal untuk mengutip iktibar. Ambillah pengajaran yang lalu sebagai pelita untuk menerangi kegelapan di hari yang mendatang. Pancangkan tekad dan aturlah strategi secara sistematik demi meraih sukses di dunia dan akhirat. Jadikan bumi ini sebagai ladang tani amal-amal kebaikan, lalu kemanisan hasil cambahannya bakal dinikmati menjelang akhir zaman kelak.

Bangkitlah dengan semangat yang berkobar-kobar untuk menjana perubahan yang postif di dalam diri. Besarkan jiwamu, dan janganlah menyerah kalah. Biarlah tersadung sekali, tetapi jangan terus rebah. Tiada mengalah, berpantang undur. Pusatkan azam demi memartabatkan kedudukan agama di tahap yang tertinggi.

6. Istiqamah dan konsisten


Belajar turut dikira sebagai suatu ibadah umum, asalkan mematuhi syarat-syarat yang digariskan. Menurut Yusuf Al-Qardhawi, syarat pengiktirafan suatu amalan harian agar dinilai sebagai ibadah di sisi Tuhan adalah seperti berikut;
• diakui dan bersesuaian dengan hukum-hakam syarak,
• dilaksanakan dengan niat yang suci,
• perbuatan tersebut dilaksanakan dengan seelok mungkin,
• perlakuan amalan tersebut tidak melampau batasan ajaran agama,
• tidak sekali-kali mencuaikan ibadah khusus dalam melaksanakan ibadah-ibadah umum.
Betapa Islam ialah suatu rahmat, hinggakan rutin dalam kehidupan dikira sebagai yang boleh menghampirkan kita dengan Allah Ta’ala. Sematlah selalu di benak, bahawa belajar merupakan suatu ibadah. Maka lakukanlah dengan sebaik mungkin, kerana pedomannya tersurat di dalam sebuah hadith;
“Bahawa Allah suka apabila seorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya.” (Hadith riwayat Muslim).

Allah Ta’ala juga mencintai amalan yang sedikit, namun dilakukan secara konsisten. Maka, jika mahu tergolong di dalam kelompok yang disenangi Tuhan, buatlah suatu pekerjaan dengan baik, juga secara istiqamah.

Jadilah seorang pelajar yang berusaha untuk cemerlang di dalam pelajarannya, dan tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam. Jikalau dua nilai murni ini berjaya disebatikan di dalam diri, kejayaan hakiki pasti berada di dalam genggaman!

Selasa, 28 Disember 2010

Selamat Kembali Berjuang...




Setelah sekian lama bercuti, kini tiba masanya untuk Mahasiswa USM kembali meneruskan perjuangan. Cuti semester yang menyeronokkan. Pelbagai aktiviti dilakukan bersama keluarga tercinta. Masa dihabiskan untuk berbakti kepada ibu bapa dan adik-beradik yang lain. Indahnya untuk dikenang saat itu. Namun begitu, ada juga segelintir Mahasiswa mengambil peluang ini untuk mencari pendapatan tambahan dengan bekerja. Alhamdulillah terisi juga masa cuti mereka dengan perkara-perkara yang berfaedah.
Setiap kali semester baru tiba, keputusan semester lepas menjadi warna-warni kepada emosi untuk menjejakkan kaki ke semester baru ini. Ada yang mendapat keputusan yang cemerlang dan ada yang mendapat keputusan yang kurang cemerlang. Apa jua keputusan sekalipun, semuanya sudah berlalu. Usah jadikan apa yang kita peroleh pada hari ini penghalang untuk kita menggapai sinar untuk hari esok. Hadapi lah setiap keadaan dengan bijak. Semuanya sudah tersurat sejak azali jadi teruskan lah perjuangan, usah berhenti di pertengahan jalan.
Kepada Mahasiswa yang menjalani praktikal semester ini, semoga berjaya di alam ‘latihan’ tersebut. Kutiplah sebanyak mungkin pengalaman untuk dijadikan pedoman di alam kerjaya kelak. InsyaALLAH.

Bingkisan buat Mahasiswa USM..semoga bersemangat.

Satu Impian Lebih Baik Dari Seribu Mimpi,
Satu Kesedaran Lebih Baik Dari Seribu Impian,
Satu Tindakan Lebih Baik Dari Seribu Kesedaran,
Satu Matlamat Lebih Baik Dari Seribu Tindakan,
Satu Keihklasan Lebih Baik Dari Seribu Matlamat.
Mulakanlah Walaupun Sedikit,
Melencong Seinci Rugi Seribu Batu..

KEAZAMAN UNTUK BERJAYA
di atas kegagalan anda semalam
binalah bangunan hidupmu buat hari esok
letakkan batu-bata tujuan yang teguh, dan
sediakan puing-puing raksasa dari kejatuhanmu yang silam,
ukirkan menara-menara yang hebat, bagi
membenam lembah-lembah air mata kehampaan.
Usahalah dengan sabar, walaupun usaha anda itu perlahan.
Namun dari hari ke sehari, binaan itu akan tumbuh cemerlang.
Percayalah kepada Tuhan, dan dengan penuh keyakinan,
Bahawa anda akan berjaya dari apa yang anda usahakan.


Tanamkanlah azam baru untuk semester ini. Bangkitlah!!

Isnin, 27 Disember 2010

Sambungan..Bab 2 dan 3






Bab 2 : Hanya Gerhana, Bukan Terbenamnya matahari.

Menyedari umat Islam kian tenat, da’ie mula menyalahkan diri sendiri. Bimbang jika dia belum betul2 menyampaikan dakwahnya. Tetapi, segera dia merasai bahawa dia telah melakukan yang termampu. Dia cuba memujuk dirinya sendiri. Walau sedahsyat mana kerosakan, para da’ie tidak boleh meninggalkan tugasnya untuk menyelamatkan manusia. Golongan da’ie tidak akan pupus di dunia ini. Wujudnya anggota gerakan Islam ini sebahagian daripada sunnatullah untuk menyempurnakan keseimbangan makhlukNya. Tanpa kewujudan sedemikian timbangan akan berat sebelah dan akan menggoncangkan seluruh alam ini.

Dakwah kebenaran ibarat matahari, bulan bintang, air dan udara yang membentuk sebahagian dari hukum alam yang telah ditetapkan oleh Allah. Hanya hati muslim yang bersih dapat memahami dakwah adalah sebahagian daripada sunnatullah. Mereka akan sentiasa berusaha keras untuk mengekalkan sunnatullah ini.
Pengasingan Islam daripada kehidupan hari ini hanyalah umpama gerhana matahari. Orang yang hidup hatinya tidak beranggapan tenggelamnya Islam. Perkara in hanyalah sementara dan suatu hari nanti Islam akan bertapak teguh semula. Wujudnya jemaah walaupun dengan bilangan yang sedikit adalah harapan utk mengembalikan semula Islam.


Bab 3 : Golongan Baik yang dibinasakan.


Firman Allah, (Al-A’raf ayat 165)

“ Tatkala mereka melupakan apa2 yang diperingatkan kepada mereka, kami selamatkan orang2 yang melarang kejahatan dan kami seksa orang-orang yang zalim dengan azab yang keras disebabkan mereka fasiq”

Menurut penerangan Syed Qutb, Allah menyelamatkan orang2 yang menjalankan nahi mugkar dan orang2 yang zalim akan ditimpakan azab. Orang yang menentang kemungkaran dengan hati sahaja tidak diterangkan oleh Allah. Segolongan ulama’ mengatakan orang yang berdiam diri akan dtimpa azab kerana sikap mereka yang membisu. Allahua’lam

Bagi orang yang hatinya sentiasa hidup dengan perjuangan Islam, apa yang tejadi pada hari ini, kekalahan dan kemunduran umat Islam hanyalah mukadimah tentang azab yang akan tiba lebih besar. Umat Islam hari ini hanya Islam pada nama, mereka cintakan dunia, bencikan mati dan menjadikan pemimipan mereka daripada golongan yang menyeleweng dan hanya akan merosakkan mereka.

Tidak ada jalan lain yang dapat menyelamatkan diri daripada qanun azab Allah melainkan dengan satu laluan sahaja iaitu

a) Menyuruh manusia kepada kebaikan
b) Melarang manusia daripada kemungkaran
c) Menentang manusia yang membuat kejahatan dan kerosakan
d) Melalui jalan dakwah dengan menyeru manusia kepada Islam, memanggil mereka untuk segera mendirikan solat, tunduk kepada perintah Allah dan menghukum syariat Allah.

Sudah tiada keraguan di hati, untuk selamat daripada azab Allah tindakan inilah yang mesti diambil oleh umat Islam yang hidup hatinya dan bertindak sebelum mereka (anak2 kijang tadi) berterusan melakukan maksiat yang akan mendatangkan kemurkaan Allah.

Jumaat, 17 Disember 2010

Al- Muntalaq



Langkah bermula....

Bingkisan

Buku ini banyak memuatkan nasihat-nasihat tentang fiqh dakwah kepada dai’e untuk beriman, mengkaji diri dan kesungguhannya dalam melakukan kerja-kerja dakwah. Terdapat 16 bab kesemuanya, setiap bab dipenuhi dengan kata2 nasihat, puisi2 indah, dalil2, dan kisah2 para pejuang Islam. Hasil daripada bacaan ini, dapat membangkitkan semangat saya untuk berada bersama-sama dengan orang-orang yang memperjuangkan kebenaran wahyu..

Bismillahirrahmanirrahim.

Bab 1 : Menolak Al- Hawa

Wahyu dan nafsu adalah dua sifat yang berlawanan. Di depan kita hanya ada 2 pilihan iaitu wahyu (syariat Allah) dan nafsu. Tiada yang ketiga. Apabila wahyu mengatakan sesuatu yang hak, lawannya adalah nafsu dan apa jua yang mengikut nafsu adalah bertentangan dengan hak. Perbuatan yang mengikut nafsu di cela oleh Allah.
Sesiapa yang menolak syariat Allah adalah kufur. Namun begitu menurut Imam Hassan Al-Banna sbg dai’e kita tidak boleh dengan semudahnya mengkafirkan seseorang Muslim kecuali jika dia mengaku dengan kalimah kufur, menyangkal dalil yang qat’i dari agama seperti kewajipan solat, pengharaman riba’, tidak perlu berpegang kpd Islam dan Al-Quran, mencaci Allah dan RasulNya, melumurkan Al-Quran dengan kekotoran atau menolak perkara yang terang2 di dlm Al-Quran. Sebaliknya apabila dia melakukan beberapa maksiat sperti minum arak walhal masih mengakui akidah Islam, dia adalah muslim yang derhaka, bukan kafir.

Segala-galanya bermula selepas kewafatan Rasulullah. Pada tahun2 akhir sebelum abad pertama Islam berlalu, penyelewengan mula menyerang umat Islam. Keazaman dalam dakwah kian kendur sedangkan para da’ie sepatutnya meneruskan dakwah dan jihad untuk menghapuskan taghut. Kehadiran Umar Abdul Aziz membangkitkan semula semangat umat Islam. Namun begitu, beberapa generasi selepas Umar Abdul Aziz, Yahudi meracuni minda umat Islam sehingga kini. Apa yang melanda umat Islam kini adalah kesan daripada perancangan hebat Yahudi laknatullah yang hendak meruntuhkan akidah umat Islam secara halus. Mereka menyerang sisitem pendidikan, media massa untuk meruntuhkan nilai2 Islam. Mereka mengubah anak-anak singa Islam yang berani pada satu ketika dahulu menjadi anak2 kijang yang jinak! Anak2 muda di di didik agar tunduk kepada nafsu , karam dalam keseronokan seks dan kemewahan hidup. Lihat saja, masalah sosial remaja hari ini kian meruncing dan menggusarkan.

Perancangan mereka telah berjaya. Ada sesetengah orang yang ikhlas lebih cenderung untuk beruzlah (mengasingkan diri) daripada bersama berjuang dalam Islam. Ini juga adalah kesan pendidikan Yahudi. Mereka berjaya meyakinkan kebanyakan orang Islam dengan perlunya beruzlah dan lebih baik berjaga-jaga dari sebarang kerja yang mengundang sebarang risiko kepada mereka ( jihad dan amal Islam).

Keadaan ini amat memerlukan pertolongan segera daripada para da’ie. Kerja-kerja dakwah tidak boleh ditinggalkan dan bertangguh. Para da’ie perlu bersabar untuk menarik semula anak-anak kijang yang jinak ini kepada Islam daripada terus hanyut dalam cengkaman jahiliyah. Pelbagai pendekatan perlu di ambil oleh para da’ie utk mencapai ke tahap ini, antaranya ialah mewujudkan gerakan Islam yang konsisten dan memberi teguran kasih sayang kepada mereka. Bentuk2 teguran juga berbeza mengikut keadaan mad’u.
1- Teguran kasih sayang- menyedarkan mereka terhadap perlunya kerja-kerja secara berjemaah Kaedah ini sesuai bagi individu yang telah menyempurnakan perkara2 fardu, beriltizam dengan hukum2 Islam dan menyuruh manusia berbuat baik sesuai dengan inisiatif mereka.

2- Menggunakan intonasi lembut dan penuh kasih sayang disulami gertakan dan kritikan terhadap orang2 yang telah beriltizam dengan Islam tetapi berdiam diri dari menyuruh manusia kepada kebaikan dan tidak melarang kemungkaran.

3- Menggunakan bahasa yang lembut disulami rasa kasih dan simpati terhadap mereka yang terpedaya dengan syahwat, lalai dan karam di dalam maksiat dan kemungkaran.

4- Menggunakan bahasa marah dan peringatan keras terhadap mereka yang membuat dosa besar, zalim dan mabuk dalam kejahatan.

Ingatlah..peringatan Allah dalam surah Al-'Asr.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan orang2 yang beriman dan beramal soleh, dan orang2 yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran"

Isnin, 13 Disember 2010

Memperbaharui iman..

Satu analogi..
Sebagai student, barang yang sangat penting kepada anda ialah laptop, handphone dan beberapa bahan teknologi lain. Cuba ambil contoh laptop..ia diibaratkan otak kedua selapas otak semula jadi kurniaan ALLAH. Semua perkara penting disimpan dan segala kemudahan boleh didapati dengan mengunakan laptop. Satu hari, laptop anda rosak! x boleh on..rupa2nya diserang virus...semua kerja tergendala, dan mula hidup jadi haru biru..kerana otak kedua sudah tidak berfungsi..
apakah yang akan anda lakukan??
sudah pastinya laptop itu akan diformat..dirawat, dan diupgrade dengan antivirus dan software yang lebih up to date..barulah laptop itu akan digunakan semula..

emm, begitulah juga hati dan iman kita..apabila kita sedar iman dihati kian berkurang (tanda-tanda lemah iman dlm tulisan sebelum ini), seharusnya kita cepat2 mencari penawarnya..tidak boleh dipandang enteng..dan ini sewajarnya menjadi misi utama kita setiap hari (upgrade IMAN) agar kehidupan yang kita lalui akan menjadi lebih tenang. Jika lame dibiarkan hati akan menjadi keras, sukar untuk membuat amal , sentiasa melakukan maksiat dan payah untuk menerima ilmu yang dipelajari. Na'dzubillah..

Bagaimanna nak perbaharui iman?

10 cara untuk menguatkan iman.

1. Membaca dan mentadabbur makna Al-Quran secara dalam serta berterusan, ia akan melembutkan hati.Ingatkan diri sendiri bahawa ALLAH sedang berbicara dengan kita.

2. Menyedari kebesaran ALLAH. Semua yang ada di bumi ini berada dalam kawalan-Nya.Tiada satu kuasa pun yang dapat mengatasi kekuasaanNya.

3. Berusaha mencari ilmu, khususnya ilmu agama. Bagaimana berwuduk dengan betul, kerana itulah kunci solat yang khusyuk.

4. Masuklah ke dalam majlis ilmu yang mengingatkan kita kepada ALLAH. Majlis sebegini dikelilingi oleh malaikat dan dirahamati.

5. Perbanyakkan amal kebajikan dan berterusan.

6. Ingatlah pada kematian. Mengharapkan husnul khotimah.

7. Ingatlah perjalanan menuju ke akhirat. Renungi ke mana kita selepas mati..alam kubur yang gelap gelita, alam kebangkitan, alam mahsyar, alam hisab dan keputusan ke syurga atau ke neraka. Di sinilah tempat kita yang abadi.

8. Sentiasa berdoa. Sedarlah, dalam kehidupan ini kita memerlukan ALLAH. Dialah satu-satunya tempat kita mengadu dan minta pertolongan.

9. Sentiasa bermuhasabah sebelum tidur..fikirkan amalan yang telah kita laksanakan sepanjang hari.
a
10. Menyedari balsan dosa dan keingkaran. sedarlah bahawa iman bertambah dengan amalan soleh. Iman akan turun dengan amal maksiat. Apabila musibah menimpa, sedarlah bahawa ALLAH menghukum atas dosa lalu dan mahu kita dibersihkan daripada dosa.

Kejayaan menggarap kekuatan iman akan menatijahkan hati yang kental. Orang yang kuat iman akan terzahir dalam tindakannya yang bersifat tekun, sabar dan istiqamah.
Orang yang lemah imannya pula akan terzahir pada sifat malas, cuai dan lesu.

Ayuhh! sama2 kita perbaharui iman...insyaALLAH.