Rasulullah s.a.w bersabda :
“Bersiwaklah kamu, jagalah kebersihan dan laksanakan solat witir kerana sesungguhnya ALLAH itu Zat yang Esa (ganjil) dan akan memberikan pahala bagi yang menunaikan solat ganjil (witir)”
(Abu Daud)
Solat witir adalah merupakan amalan
yang dicintai oleh ALLAH. Sebagai seorang hamba yang beriman dan sedang
berjalan menempuh keredaan ALLAH kita harus mencintainya. Mencintai solat witir
adalah meletakkannya dalam hati,
membawanya ke mana-mana dalam
ingatan dan gigih menjalankannya. Begitu
juga caranya untuk mencintai dan
melazimi solat-solat sunat yang lain. Tak kenal maka tak cinta. Oleh itu, bagi
mencintai solat witir, kita perlu terlebih dahulu mengenali solat witir,
mempelajarinya dan mengetahui doa-doa dan kaedah-kaedahnya serta keutamaan yang terkandung di dalamnya.
***
Menyingkap sunnah..saya nukilkan
tulisan kali ini untuk kita sama-sama mengembara mencari ilmu kerana kita masih
dan tetap berusaha meraih cinta ALLAH!
Segala input ini di ambil daripada bacaan hasil karya Yusni A.Ghazali
(Mukjizat Qiyamullail)
***
Peringatan daripada Rasulullah
s.a.w buat Abu Hurairah.
Abu Hurairah berkata, kekasihku (Rasulullah s.a.w) telah menyampaikan wasiat kepadaku tentang tiga hal, agar aku berpuasa tiga hari setiap bulan, mengerjakan solat Dhuha dua rakaat dan menunaikan solat witir sebelum tidur. (Riwayat Muslim)
Selepas mendengar peringatan itu,
Abu Hurairah tidak pernah meninggalkan solat witir. Sekalipun ia adalah solat
sunat, Abu hurairah tidak memandang remeh tentangnya. Baginya ia adalah wasiat daripada kekasihnya. Abu Hurairah adalah peribadi terbaik yang
patut kita jadikan teladan. Kita harus merasa seperti yang dirasai Abu
Hurairah. Di mana pun kita berada selama ada waktu dan kesempatan, kita hendaklah
menunaikan solat yang dicintai oleh ALLAH ini. Tidak ada harapan yang patut
kita panjatkan selain menjalankan apa yang digalakkan Rasulullah s.a.w dan
mengharapkan keredhaan ALLAH.
Waktu Solat Witir
Solat witir dapat dikerjakan dari
selepas Isyak hinggalah apabila waktu sahur tiba.
Sabda Rasulullah s.a.w “ Bergegaslah
mengerjakan solat witir sebelum tiba waktu subuh” (Al-Hakim)
Waktu yang paling utama ialah
pertengahan malam, namun bagi seorang Muslim yang tidak mampu mengerjakan witir
pada waktu ini, dia mendapat keringanan seperti mana hadis Nabi Muhammad s.a.w
:
“Siapa yang takut tidak dapat bangun di akhir malam, maka hendaklah dia mengerjakan solat witir di awal malam. Tetapi solat di akhir malam itu disaksikan malaikat pembawa rahmat dan adalah lebih utama”
Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w,
terdapat dua golongan sahabat yang mengerjakan solat witir di awal malam dan di
akhir malam. Golongan yang mengerjakan di awal malam dipelopori oleh Abu Bakar,
Uthman bin Affan, Abu Hurairah dan Rafi’ bin Khudaij. Manakala kelompok
berikutnya dipelopori oleh Umar bin Khattab, Ali bin Abi Thalib, Ibnu Mas’ud,
Abu Darda, Ibnu Abbas dan Ibnu Umar yang mengerjakan solat witir di akhir
malam.
Namun begitu Rasulullah s.a.w tetap
memuji kedua-duanya. Ini disebut dalam satu hadis daripada Abu Qatadah,
sesungguhnya Rasulullah s.a.w bertanya kepada Abu Bakar.
“Bilakah kamu mengerjakan solat
witir?” Abu bakar menjawab, aku mengerjakan solat witir sebelum aku tidur.
Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya kepada Umar, “Bilakah kamu mengerjakan solat
witir?” Umar menjawab, aku tidur terlebih dahulu dan kemudian mengerjakan solat
witir. Kemudian Rasulullah s.a.w berkata kepada Abu Bakar, “Kamu memilih waktu
dengan bijaksana.” Rasulullah s.a.w berkata kepada Umar, : “Kamu beramal sebagaimana
orang kuat beribadah.”
Abu Bakar memilih waktu dengan
bijaksana kerana dapat mengukur kekuatan, sekali gus menjaga diri daripada
lalai.
Umar turut dipuji oleh Rasulullah
s.aw kerana bukan semua orang kuat untuk
bangun di tengah malam ketika rasa mengantuk menyelubungi diri apalagi untuk
berdiri mengambil wudhuk dan mengerjakan solat witir. Hanya mereka yang kuat
beribadah sahaja dapat melakukannya.
Kita sebagai umat Islam hidup
masa kini mempunyai contoh yang baik daripada kalangan sahabat. Dua waktu yang
mereka pilih adalah baik dan kita hanya perlu memilih bila untuk mengerjakannya
sesuai dengan kemampuan. Itu lebih baik daripada meninggalkan terus.
Solat Witir 3 rakaat
Rasulullah s.a. bersabda ; “Solat
malam dikerjakan dengan dua rakaat –dua rakaat, jika salah satu daripada kamu
takut akan datangnya waktu subuh, maka hendaklah dia solat satu rakaat,
menjadikannya solat witir. (Riwayat Muslim)
Ini bermakna bagi witir 3 rakaat, ia bererti dua
rakaat kemudian salam, dan di tambah
satu rakaat lagi. Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa solat witir adalah hak
peribadi. Tiada masalah sama ada lima rakaat, tiga rakaat atau satu rakaat.
Oleh sebab itu marilah kita berlumba mencari keredaan ALLAH melalui solat yang
dicintaiNya. Makin banyak rakaat, tentunya makin bagus. Namun begitu satu
rakaat pun jauh lebih bagus daripada tidak bersolat langsung.
Surah-surah yang dibaca
Menurut hadis daripada Ali bin Abi Thalib, Rasulullah
s.a.w menunaikan solat witir sebanyak tiga rakaat dengan membaca sembilan
surah, iaitu daripada surah-surah pendek. Pada setiap rakaat, baginda membaca
sebanyak tiga surah yang kemudian diakhiri dengan surah Al-Ikhlas.
Pilihan surah yang di baca oleh
Rasulullah s.a.w adalah :
1. Surah
Ar-Rahman dan Al-Waqiah
2. Surah
Al-A’ala
3. Surah
Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas
4. Sembilan
surah2 pendek
Rakaat pertama :
Surah At-Takathur, Al-Qadr, Al-Zalzalah
Rakaat kedua :
Surah Al-‘Ashr, Al-Fath, Al-Kautsar
Rakaat ketiga :
Surah Al-Kafirun, Al-Lahab, Al-Ikhlas
Zikir selepas solat witir
“Subhanal Malikil Quddus”
Maha suci Zat Yang Menguasai, Zat yang Suci
Sebanyak 3x.
Zikir selepas witir mampu memberi
ketenangan kepada hati, terutamanya menghilangkan kesedihan. Hakikatnya zikir
adalah seperti suara yang memanggil-manggil, memohon dengan bersungguh-sungguh
agar datangnya pertolongan ALLAH.
Berilah galakan kepada keluarga dan sahabat2 untuk sama2 menunaikan solat witir. Ibadah, sama ada solat atau ibadah lain adalah ajakan mulia yang penuh dengan pendidikan akhlak dan budi pekerti.
Ibnu Umar bahawa menegaskan solat witir bukanlah sekadar sunat biasa, kerana jarang sekali Rasulullah s.a.w meninggalkannya. bahkan dapat dikatakan baginda selalu mengerjakan solat witir. Begitu juga para sahabat pada ketika itu.
Jika Rasulullah s.a.w dan para sahabat begitu teguh mengamalkannya , kita bagaimana? Moga terus istiqamah..kunci utama untuk kekal istiqamah ialah dengan berusaha untuk ikhlas mencintai amalan tersebut.
Ikhlas itu harus diburu...bukan menunggu. -Ustaz Pahrol
syukran atas perkongsian tips. insya Allah nak cuba amalkan lepas ni :D
BalasPadamMohon share di fb saya....
BalasPadamSilakan.
Padam