Halaman

Khamis, 29 November 2012

Kita Amanah Mereka




"Ya ALLAH, ampunilah dosaku dan kedua ibu bapaku. Peliharalah (rahmatilah) mereka seperti mana mereka memelihara ku sewaktu kecil.."

Mereka adalah anugerah yang tidak ternilai dan tiada gantinya. 
Pengorbanan mereka sangat besar demi menjaga amanah ALLAH ini.  


9 bulan ibu mengandung amanahnya. Dengan susah payah, dia menjaga amanahnya dari awal usia kandungan sehingga melahirkan. Dalam kepayahan itu dia tetap menjaga kesihatan, kualiti ibadah dan terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri. Dia tahu. Dia sedang ‘membawa’ amanah ALLAH yang Agung dalam rahimnya. Buah cintanya bersama suami berpaksikan cinta kepada Ilahi. Ayah tetap setia di sisi ibu, menyelami susah payah ibu bersama amanahnya. Mereka tidak jemu berdoa kepada ALLAH agar amanahnya sihat, selamat dilahirkan dan menjadi hamba yang soleh kelak. Cukup masanya, ibu bertarung nyawa pula demi melahirkan  amanah ALLAH itu. Kesakitan hilang setelah melihat tubuh kecil dalam pelukannya. Dia mengukir senyuman paling indah buat suaminya “Inilah amanah kita” bisik hatinya. Subhanallah..dan saat itu bermulalah kembara mereka mendidik amanah ALLAH hingga akhir hayat mereka


Dari kecil hingga dewasa amanah itu dijaga dengan penuh kasih sayang. Di beri perlindungan, didikan yang secukupnya. Ada masanya ayah tegas menegur, jika amanahnya tersilap langkah Tegurannya tanda sayang, tidak mahu amanahnya dihumban ke neraka, di murkai PenciptaNya. Ibu jujur memberi nasihat. Tidak mahu amanahnya lalai dengan dunia. Mereka tahu amanah mereka kini adalah saham di akhirat nanti.
"Apabila matinya seorang anak Adam terputus segala hubungan di dunia, melainkan doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu bermanfaat yang ditinggalkan".
Oleh itu, mereka tidak putus asa memberi didikan agama mengenal Pencipta dan menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seharian. Mereka tidak lupa memberikan ilmu dunia sebagai nadi meniti kehidupan. Cinta mereka kepada amanah itu tinggi menggunung, kerana cinta kepadaNya. Mereka tidak akan mengabaikan amanah ALLAH itu demi cinta mereka kepada ALLAH, sehinggalah mereka menutup mata.

"Mereka lah, IBU, AYAH.."

 Wahai anakku, amanahku 
Sudah sampai masanya ibu dan ayah pergi menghadapNya. Alhamdulillah, dengan izin ALLAH ibu dan ayah telah menjaga amanah titipan ALLAH ini dengan sebaiknya  sepanjang hayat ibu dan ayah.
Anakku, engkaulah amanah ALLAH yang paling istimewa dalam hidup kami. Siapa pun dirimu sekarang, adalah hasil usaha didikan yang kami berikan. 
Kini tiada lagi doa daripada kami mengiringi perjalanan hidupmu. Jagalah dirimu dengan baik. 

Wahai anakku, amanahku 
Ketahuilah, kelak dirimu jua akan diberikan amanah untuk dijaga. Isteri/suami, anak2, jawatan, harta benda dan orang dibawahmu lah yang bakal menjadi amanahmu. Setiap daripadanya akan dipersoalkan bagaimana engkau menjaga amanah-amanah ini.

Dan paling penting, ingatlah bahawa dirimu sendiri adalah amanah ALLAH  yang mesti dijaga. Jagalah ibadahmu, akhlakmu dan segala nikmat yang diberikan kepadamu sebaiknya. Ke mana pun engkau pergi, ingatlah wahai anakku…engkaulah hamba ALLAH yang Maha Kuasa. Jangan sesekali mempersekutukannya dengan sesuatu. 
Hanya Dia  menciptakanmu daripada tiada…kepada ada..menghidupkan dan mematikanmu. Hanya kepadaNyalah engkau dikembalikan.



 ***
Siapa pun kita sekarang...ingatlah kita adalah amanah ALLAH buat ibu bapa yang dikasihi. Kelak mereka akan dipersoalkan bagaimana mereka menjaga amanah ALLAH. Mereka tanggungjawab kita, dan kita adalah tangungjawab mereka buat  selama-lamanya. Sebagai anak, kita sendiri perlulah sedar bagaimana  untuk 'membantu' ibu bapa menjaga amanah mereka.

Hargailah ibu bapa kita selagi hayat mereka masih ada. =')

* Terima kasih mak, abah untuk segalanya..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan