Halaman

Khamis, 29 November 2012

Kita Amanah Mereka




"Ya ALLAH, ampunilah dosaku dan kedua ibu bapaku. Peliharalah (rahmatilah) mereka seperti mana mereka memelihara ku sewaktu kecil.."

Mereka adalah anugerah yang tidak ternilai dan tiada gantinya. 
Pengorbanan mereka sangat besar demi menjaga amanah ALLAH ini.  


9 bulan ibu mengandung amanahnya. Dengan susah payah, dia menjaga amanahnya dari awal usia kandungan sehingga melahirkan. Dalam kepayahan itu dia tetap menjaga kesihatan, kualiti ibadah dan terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri. Dia tahu. Dia sedang ‘membawa’ amanah ALLAH yang Agung dalam rahimnya. Buah cintanya bersama suami berpaksikan cinta kepada Ilahi. Ayah tetap setia di sisi ibu, menyelami susah payah ibu bersama amanahnya. Mereka tidak jemu berdoa kepada ALLAH agar amanahnya sihat, selamat dilahirkan dan menjadi hamba yang soleh kelak. Cukup masanya, ibu bertarung nyawa pula demi melahirkan  amanah ALLAH itu. Kesakitan hilang setelah melihat tubuh kecil dalam pelukannya. Dia mengukir senyuman paling indah buat suaminya “Inilah amanah kita” bisik hatinya. Subhanallah..dan saat itu bermulalah kembara mereka mendidik amanah ALLAH hingga akhir hayat mereka


Dari kecil hingga dewasa amanah itu dijaga dengan penuh kasih sayang. Di beri perlindungan, didikan yang secukupnya. Ada masanya ayah tegas menegur, jika amanahnya tersilap langkah Tegurannya tanda sayang, tidak mahu amanahnya dihumban ke neraka, di murkai PenciptaNya. Ibu jujur memberi nasihat. Tidak mahu amanahnya lalai dengan dunia. Mereka tahu amanah mereka kini adalah saham di akhirat nanti.
"Apabila matinya seorang anak Adam terputus segala hubungan di dunia, melainkan doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu bermanfaat yang ditinggalkan".
Oleh itu, mereka tidak putus asa memberi didikan agama mengenal Pencipta dan menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w dalam kehidupan seharian. Mereka tidak lupa memberikan ilmu dunia sebagai nadi meniti kehidupan. Cinta mereka kepada amanah itu tinggi menggunung, kerana cinta kepadaNya. Mereka tidak akan mengabaikan amanah ALLAH itu demi cinta mereka kepada ALLAH, sehinggalah mereka menutup mata.

"Mereka lah, IBU, AYAH.."

 Wahai anakku, amanahku 
Sudah sampai masanya ibu dan ayah pergi menghadapNya. Alhamdulillah, dengan izin ALLAH ibu dan ayah telah menjaga amanah titipan ALLAH ini dengan sebaiknya  sepanjang hayat ibu dan ayah.
Anakku, engkaulah amanah ALLAH yang paling istimewa dalam hidup kami. Siapa pun dirimu sekarang, adalah hasil usaha didikan yang kami berikan. 
Kini tiada lagi doa daripada kami mengiringi perjalanan hidupmu. Jagalah dirimu dengan baik. 

Wahai anakku, amanahku 
Ketahuilah, kelak dirimu jua akan diberikan amanah untuk dijaga. Isteri/suami, anak2, jawatan, harta benda dan orang dibawahmu lah yang bakal menjadi amanahmu. Setiap daripadanya akan dipersoalkan bagaimana engkau menjaga amanah-amanah ini.

Dan paling penting, ingatlah bahawa dirimu sendiri adalah amanah ALLAH  yang mesti dijaga. Jagalah ibadahmu, akhlakmu dan segala nikmat yang diberikan kepadamu sebaiknya. Ke mana pun engkau pergi, ingatlah wahai anakku…engkaulah hamba ALLAH yang Maha Kuasa. Jangan sesekali mempersekutukannya dengan sesuatu. 
Hanya Dia  menciptakanmu daripada tiada…kepada ada..menghidupkan dan mematikanmu. Hanya kepadaNyalah engkau dikembalikan.



 ***
Siapa pun kita sekarang...ingatlah kita adalah amanah ALLAH buat ibu bapa yang dikasihi. Kelak mereka akan dipersoalkan bagaimana mereka menjaga amanah ALLAH. Mereka tanggungjawab kita, dan kita adalah tangungjawab mereka buat  selama-lamanya. Sebagai anak, kita sendiri perlulah sedar bagaimana  untuk 'membantu' ibu bapa menjaga amanah mereka.

Hargailah ibu bapa kita selagi hayat mereka masih ada. =')

* Terima kasih mak, abah untuk segalanya..

Isnin, 26 November 2012

Merancang Mati untuk 'Hidup'



"Merancang mati untuk hidup", agak pelik bunyinya, jika tidak dihayati maksudnya.
Itulah hakikat.
Kita hidup di dunia sangat sekejap , kemudian mati dan kita akan hidup semula untuk hidup selama-lamanya!
(Renung seketika perjalanannya..)




Beberapa hari lepas, jiran sebelah rumah di Gua Musang meninggal dunia. Sehari sebelum itu abah saya ada berbual-bual dan menghulurkan buah rambutan kepadanya. Arwah masih sihat waktu tu. Masih boleh tersenyum. Siapa sangka, keesokan harinya kami sekerluarga diberitahu arwah meninggal dunia. Sakit jantung mengejut. Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun.. Arwah pergi dalam keadaan keluarganya dan semua kenalan belum bersedia akan kehilangannya. Benarlah, kematian itu sangatlah dekat dan pasti. Bila, bagaimana, di mana itu rahsia ALLAH. Namun, kematian yang pasti inilah yang sering kali dilupakan. Astaghfirullah...


Satu teka-teki.


Orang yang menjual tidak mahu pakai, Orang yang beli pun tidak mahu pakai. Tetapi orang yang pakai tidak sedar dia memakainya..apakah benda itu?


 Kain kapan.


Ya. Kain kapan. Kita semua akan memakainya dalam keadaan kita sudah tidak sedar.


Pada saat itu, adakah kita benar2 sudah bersedia? Perancangan sudah ada? ALLAH...takut benar rasanya.

Jika kehidupan di dunia, penuh dengan pelbagai rancangan..itu ini, kalau tak dapat buat macam ni, buat macam tu. Semuanya ada perancangan. Hidup tanpa perancangan, maka kucar kacirlah hidupnya. Pelbagai bengkel, buku2 motivasi yang menjelaskan perancangan hidup seperti ilmu, kerohanian, keluarga, kewangan, kerjaya dan sebagainya. Semuanya untuk memastikan kehidupan berjalan dengan lancar.

Bagaimana pula dengan perancangan mati?


"Perancangan untuk hidup itu perlu. Tetapi perancangan mati lebih perlu. Kerana kematian itu bukanlah satu pengakhiran tetapi satu permulaan hidup yang tidak mati2 lagi! " 


ALLAH...terkedu saya bila diingatkan begitu.


Rancanglah segala urusan kehidupan dunia, niatkan kerana ALLAH, menjaga prinsip syariat ALLAH dan batas akhlak, semuanya akan menjadi ibadah. In syaa ALLAH. Apabila semuanya menjadi ibadah, itulah juga amalan taqwa. Bukankah taqwa itu bekalan menuju akhirat..


Kemudian, rancang strategi untuk menjawab soalan bocor.


Ya, soalan bocor yang akan ditanya di alam Mahsyar kelak. Kita sudah didedahkan dengan soalan2 tersebut  melalui hadis2 dan ayat Al-Quran. Jadi, boleh lah kita hafal sebelum mati..(ini pemikiran manusia yang tidak tahu). Tidak, tidak semudah itu. Menghafal sahaja bukanlah strategi yang menjamin kita boleh menjawab segala soalan tersebut..bahkan ia hanyalah satu bonus untuk kita bersedia dengan ilmu untuk menjawabnya.


"Kita akan menjawabnya bukan dengan fikiran dan lidah. Orang yang bijak dan petah sekalipun akan menjadi dungu dan bisu. Kecuali orang yang beramal, waktu itu amalan kita di dunia sahajalah yang akan menjadi saksi dan pembela untuk menjawabnya. Rancanglah apa yang perlu kita buat dengan ilmu yang ada, kemudian teruskan beramal.."


Teringat pengisian usrah satu ketika dulu.


" Jika kita nak ke mana2 dalam dunia ini untuk tempoh sekejap atau lama, kita akan bersiap. Tarikh, masa semua kita rancang. Kalau boleh tak nak patah balik sebab tertinggal itu, tak cukup ini. Betol tak?

TAPI..nak pergi satu tempat kekal (akhirat) yang kita tak boleh patah balik lagi dan kita tak tahu pun bila kita akan pergi...adakah kita sudah bersiap sedia?.."

Semua ahli usrah terdiam, merenung persiapan masing2..ALLAH....



Berdoalah agar ALLAH memberi kita hidayah untuk sentiasa mengingatiNya..



Kita manusia, yang sering lupa. Apabila diingatkan..subhanallah. ALLAH masih sayang kita. sebab tu ALLAH ingatkan kita.. =')


Khamis, 8 November 2012

Harga Cinta Padaku.




Harga cinta,
Mahal padaku,
Kerana cinta  bukan sekadar pada manusia, 
Tetapi bermula dengan Tuhanku Yang Maha Agung.

Kalau benar cinta,
Hendak bersama hingga syurga,
Kerana pencinta kepada Rabbku semuanya berhajat ke sana,
Dari situ dasar cinta aku bina,
Kepada makhluk yang lainnya.

Tidak akan aku bawa kepada murkaNya,
Tidak akan aku tarik kepada nerakaNya,
Tidak pula aku susahkannya dengan dosa-dosa,
Sambil menjaganya, diriku aku perhatikan jua.

Harga cinta padaku mahal,
Apakah yang lebih mahal daripada syurga?
Itulah dia cintaku,
Membawa ku ke sana,
Bukan kepada selainnya.

Apa-apa yang ke neraka,
Menjemput murkaNya,
Itu bukan cinta.
Bukan.


Persiapan itu satu kemestian untuk meraih cinta yang mahal harganya..


* Berusaha mempersiapkan diri dengan memperbaiki hubungan dengan ALLAH. Perkara paling penting yang mesti dititik beratkan.Kerana cinta itu mahal, semahal syurgaNya.


* Mempertingkatkan kefahaman tentang Islam. Apakah sudah diusahakan supaya perkara-perkara asas seperti ibadah dan pengurusan hidup secara Islam difahami?


* Memperbaiki hubungan dengan ahli keluarga dan sahabat-sahabat. Belajar memahami dan menyayangi mereka.


* Persediaan mental dan emosi. Berusaha menjadi individu yang paling mudah bertolak ansur,  bersabar dan berlapang dada.


* Persiapan perancangan kehidupan. Berusaha mencapai cita-cita dan wawasan hidup diri sendiri dan bersamanya kelak.


* Persiapan dari sudut kewangan.



* Adapatasi dari buku 'Sebelum Aku Bernikah' karya Hilal Asyraf.